AMK Keadilan Ampang Dihukum Penjara ?


Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ampang, Datuk Adam Rosly Abdullah, dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah atas enam pertuduhan memberi pernyataan dan dokumen palsu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Hakim Allaudeen Ismail membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Beliau menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM5,000 bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan ia dijalankan secara serentak.

Jika tertuduh gagal membayar denda, dia boleh dikenakan penjara setahun bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan Adam Rosly yang diwakili peguam Datuk Sulaiman Ismail untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sehingga selesai rayuan.

Mahkamah memerintahkan tertuduh membayar jaminan RM300,000 dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan.

Dalam rayuannya, peguam tertuduh memohon dikenakan hukuman ringan dan mendakwa anak guamnya sudah insaf dengan perbuatan yang dilakukan.

"Mohon hukuman yang paling ringan terhadap tertuduh. Dia tidak berniat melakukan perbuatan itu tetapi akibat tertekan ketika mahu menyediakan dan menyerahkan dokumen kepada SPRM.

"Anak guam saya kini mempunyai masalah kewangan kerana semua akaun dan hartanya disita oleh SPRM," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, memohon tertuduh dikenakan hukuman berbentuk pengajaran.

"Sebagai ahli politik, tertuduh sepatutnya menjadi contoh kepada anak muda lain untuk menjadi orang yang bertanggungjawab, sebaliknya dia memberi dokumen palsu kepada SPRM bagi melepaskan diri.

"Faktor kepentingan awam perlu diutamakan berbanding kepentingan tertuduh dan hukuman juga perlu menunjukkan betapa serius kesalahan yang dilakukan," katanya.

Seramai 11 saksi pendakwaan dan tiga saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan sepanjang perbicaraan.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Adam Rosly didakwa memberi pernyataan palsu ketika percakapannya dirakam dua pegawai penyiasat SPRM.

Pernyataan itu berhubung kerjayanya sebagai ahli perniagaan; sumber pendapatan; hasil jualan kenderaan; banglo bernilai RM1.2 juta di Kampung Melayu, Ampang, yang dibeli secara tunai, pinjaman wang daripada 'Along' sebanyak RM500,000 dan pinjaman RM200,000 daripada ibu mentua dan neneknya.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat SPRM, Putrajaya, antara jam 9 pagi hingga 12.15 tengah hari pada 10 Februari 2017 dan antara jam 9 pagi hingga 2 petang, pada 22 Februari 2017.

Bagi pertuduhan ketiga hingga keenam, dia didakwa menggunakan dokumen palsu iaitu dua perjanjian persetujuan pinjaman wang daripada dua individu serta dua baucar tunai daripada syarikatnya, Gegas Mentari Holding Sdn Bhd dengan niat untuk memperdaya pegawai penyiasat SPRM.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 32(8)(c) dan Seksyen 89 Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), yang boleh dihukum penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Sumber : BH

Post a Comment

1 Comments

  1. Mengapa dia tidak menggunakan khidmat peguam ketika mengisytiharkan harta dan sumber kewangannya dulu?

    ReplyDelete