Bernama | Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah dijangka didakwa dengan 6 pertuduhan pecah amanah melibatkan wang milik kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion.

Bekas Ketua Pengarah Bahagian Penyelidikan, Jabatan Perdana Menteri Datuk Hasanah Ab Hamid juga akan berhadapan dengan 1 pertuduhan yang sama melibatkan dana kerajaan berjumlah USD12.1 juta.

Menurut senarai kes mahkamah, kes mereka akan disebut di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azman Ahmad.

Difahamkan, Najib dan Mohd Irwan Serigar akan didakwa bersama atas pertuduhan itu yang didakwa dilakukan antara Disember 2016 dan Disember 2017, manakala Hasanah didakwa melakukan kesalahan berkenaan antara April 2018 dan Mei 2018.

Mereka akan didakwa di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan (pecah amanah oleh penjawat awam atau ejen).

Hakim Mahkamah Persekutuan yang telah bersara Datuk Seri Gopal Sri Ram, yang dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya Kanan, akan mengetuai pasukan pendakwaan.