Bila mendapat sesuatu pangkat, semestinya perasaan riak akan ada dalam hati walaupun sedikit. Kalau tidak penerima itu, mungkin anak, isteri, keluarga terdekat akan berasa kelainan dengan pangkat tersebut. Namun, jika pangkat yang diberi adalah kerana sumbangan yang tinggi terhadap negeri tersebut, tidak salah untuk menerimanya.

Apa yang dipraktikkan DAP dilihat supaya ahli mereka tidak hanyut dibuai mimpi mewah. Satu inisiatif yang bagus. Tetapi terdapat perbezaan pendapat antara ahli DAP dengan arahan tertinggi DAP. Dimana mereka meminta CEC memaklumkan kepada pihak istana berkaitan status pangkat untuk ahli DAP.

Malaysiakini | DAP memberi amaran terakhir kepada wakil rakyatnya yang dilihat berbeza pendapat mengenai isu penerimaan darjah kebesaran yang tidak dipersetujui parti itu.

Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke mengingatkan mereka agar tidak memanjangkan isu tersebut atau berisiko menghadapi tindakan disiplin.

Bercakap kepada Malaysiakini hari ini, Loke berkata jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP adalah pihak tertinggi parti dan sesiapa mencabar arahannya akan dilihat terkeluar daripada "garisan parti".

"Apabila anda terkeluar dari garisan, parti akan bertindak. Semudah itu," katanya.

Loke mengulas kenyataan Pengerusi DAP Melaka Tey Kok Kiew bahawa CEC bukan sahaja perlu memaklumkan kepada anggota parti itu mengenai peraturan berkenaan, malah perlu berbuat demikian kepada pihak istana.

Semasa sidang akhbar hari ini, Tey juga mendakwa beliau telah memaklumkan kepada beberapa pemimpin pusat DAP, termasuk Loke mengenai gelaran yang diterimanya daripada Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Khalil Yaakob.

Mengakui Tey ada memaklumkan kepadanya, Loke menegaskan beliau telah menasihatkannya bertemu Mohd Khalil bagi menjelaskan pendirian DAP.

"Dia tahu pendirian parti, malah saya memintanya untuk merujuk garis panduan DAP Pulau Pinang mengenai pemberian gelaran itu. Dia tahu mengenainya sejak Julai lalu.

"Dalam bulan Oktober, dia memanggil saya untuk memaklumkan bahawa dia ditawarkan (gelaran Datuk) dan saya menasihatinya untuk menemui Yang Dipertua Negeri bagi mengucapkan terima kasih secara peribadi dan menolaknya," katanya.

Loke berkata selepas menerima gelaran berkenaan beliau menemui Tey dan wakil rakyat itu memberitahu tidak sempat menemui Mohd Khalil.

"Masalahnya dia tidak memaklumkan kepada kami sebelum menerima gelaran itu.

"Tidak ada seorang pun dalam parti tahu bahawa dia menerima gelaran itu. Tiada rundingan dibuat. Saya hanya tahu mengenainya dari laporan media," kata Loke.

Contohi Lim Guan Eng

Loke menyebut setiausaha agung DAP Lim Guan Eng sebagai contoh pemimpin yang tidak memerlukan sebarang anugerah walaupun berkecimpung dalam politik sejak sekian lama.

"Beliau (Lim) menjadi ketua menteri selama 10 tahun. Beliau tidak pernah menerima sebarang gelaran bahkan sebagai ketua kerajaan negeri.

"Jangan beritahu saya mereka tidak mengenali beliau sebagai ketua kerajaan negeri, yang sepatutnya ditawarkan anugerah dan gelaran.

"Tetapi sejak 10 tahun lalu, sejak tahun 2008, tiada exco DAP yang menerima sebarang gelaran - pendirian itu semua orang tahu," kata Loke.

Loke berkata Tey dan lain-lain pemimpin DAP yang menerima darjah kebesaran, boleh menyimpan gelaran 'Datuk' mereka.

Bagaimanapun beliau meminta mereka menerima baik teguran parti.

Malah, katanya, CEC hanya membuat teguran dan tidak memasksa mereka memulangkan gelaran berkenaan.

"Kepada Tey, jika dia mahu simpan gelaran Datuknya, cakap saja. Kami tidak akan menghalangnya. Pada masa akan datang kalau saya jumpa denganya saya akan memanggilnya 'Datuk' Tey Kok Kiew," kata Loke, yang juga menteri Pengangkutan