Najib - Ini Sebab Kenapa Singapura Tidak Setuju Jambatan Bengkok


Malaysiakini | Bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berkata sebelum ini beliau pernah cuba meyakinkan Singapura untuk meruntuhkan Tambak Johor dan menggantikannya dengan sebuah jambatan baru yang sesuai dengan zaman sekarang.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan Singapura menolak rancangan tersebut kerana mendakwa Tambak Johor masih boleh digunakan.

"Waktu saya jadi PM, saya telah tanya pihak PM Singapura, dia kata nak kekalkan tambak selama 30 tahun lagi.
"Saya cuba nak minta Singapura untuk memansuhkan tambak untuk jambatan baru yang sesuai dengan era sekarang tetapi tak dapat persetujuan daripada pihak Singapura," kata Najib kepada pemberita ketika ditemui di lobi parlimen hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai rancangan kerajaan untuk memulihkan projek jambatan bengkok cetusan ilham Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Najib berkata projek itu, yang hanya akan menggantikan separuh tambak dengan jambatan melengkung di bahagian Malaysia yang akan menjadikannya sesuatu yang ganjil.

"Jadi kalau separuh jambatan baru separuh tambak lama itu agak pelik sikitlah daripada banyak aspek," katanya yang juga  mempersoalkan jika ia akan memberi manfaat kepada rakyat.

Najib berkata, bukan sahaja projek itu dibatalkan semasa pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai perdana menteri, malah sejumlah pampasan yang besar juga telah dibayar kepada kontraktor terlibat.

“Soal sekarang sama ada jambatan itu akan memberi manfaat kepada rakyat atau tidak? Ini kena nilai dan cabaran untuk kerjasama dengan Singapura kerana negara itu tidak mahu meruntuhkan Tambak Johor sedia ada,” kata beliau.

Najib sebelum ini mendedahkan bahawa keengganannya untuk melaksanakan projek jambatan bengkok adalah salah satu sebab hubungannya dengan Mahathir menjadi tegang.

Projek jambatan bengkok itu pada asalnya dicadangkan sebagai jambatan enam lorong untuk menggantikan Tambak Johor.

Walau bagaimanapun, oleh kerana Singapura tidak bersetuju dengan projek itu maka reka bentuknya telah diubah suai untuk menggabungkan lengkungan pada bahagian sempadan Malaysia yang juga akan membolehkan kapal lalu di bawahnya, lantaran itu ia mendapat gelaran 'jambatan bengkok'.

Semalam, Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian memberitahu, kerajaan bercadang meneruskan semula projek pembinaan jambatan bengkok yang menghubungkan Malaysia dan Singapura.

Sebelum ini, jambatan sepanjang 1.4 kilometer itu mahu dibina oleh Mahathir suatu ketika dulu bagi menggantikan Tambak Johor sepanjang 1.06 kilometer yang telah digunakan sejak 1923.

Post a Comment

4 Comments

  1. wlaupun ditekan pelbagai tekanan. DSN relax je jwb media dan masih amik tahu psl negara. salute!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Suh jela pas amik najib smula jd PM

      Delete
  2. Bakal PM smula ke ni

    ReplyDelete
  3. Masa ko hbs la jib.ko bckp pn dh tak bleh buat apa.

    ReplyDelete