Gerakan Ke China Cara Anwar Ibrahim

Malaysiakini | Tidak lama selepas kembali sebagai anggota Dewan Rakyat, bakal perdana menteri dan presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual mengadakan kunjungan ke Beijing.

Kunjungan itu atas jemputan Jabatan Perhubungan Antarabangsa Parti Komunis Cina - parti pemerintah negara itu.

Beberapa pakar hubungan antarabangsa yakin Anwar akan berusaha memperbaiki hubungan dengan China, susulan keputusan kerajaan menilai semula beberapa projek infrastruktur mega melibatkan negara itu.

Penganalisis politik Phoon Wing Keong berkata Anwar dijangka memainkan peranan berbeza dengan pendirian tegas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkenaan perkara itu.

"China membuat beberapa perhubungan dengan Mahathir dan dapati beliau ambil pendirian yang sangat tegas. Maka mereka mungkin meletakkan harapan kepada Anwar," katanya yang juga pensyarah Kolej Universiti Selatan, Johor.

Katanya, Anwar adalah seorang pakar dalam bahasa diplomatik dan ia mampu mengendurkan ketegangan antara dua negara.

Beliau berkata anggota parlimen Port Dickson itu dalam satu forum di Hong Kong telah berkata di sebalik keperluan kerajaan menyemak semula beberapa projek berkaitan China, hubungan antara dua negara masih kukuh.

"Kata-kata seumpama itu mampu mengurangkan kebimbangan China.

"Dalam acara sama, Anwar berkata: 'China adalah ekonopmi yang hebat, kita mahu mengekalkan persahabatan Malaysia-China'...Beliau menyebut Pakatan Harapan (HARAPAN) menyemak semula projek meragukan oleh kerajaan BN, tetapi ia tidak bermakna China diketepikan.

"Ini bukan menandakan beliau lembut, tetapi beliau menggunakan retorik untuk mengendurkan ketegangan," kata Phoon.

Berhubung spekulasi oleh media antarabangsa bahawa Anwar mungkin membangkitkan layanan China terhadap etnik Uighur, terutama berhubung hak mereka dalam agama dan bergerak, Phoon berkata isu itu akan menjadi ujian terhadap kemahiran diplomatik Anwar.

Katanya, Anwar berpotensi 'menyelam sambil minum air' dengan menunjukkan Malaysia sebagai pembela hak asasi manusia dan menguatkan imej HARAPAN dalam negara berhubung agama Islam.

"Anwar diketahui ada hubungan dengan Turki. Beliau boleh memudahkan perbincangan tentang isu Uighur," katanya lagi.

Sementara itu, pemangku Pengarah Institut Pengajian China Universiti Malaya Ngeow Chow Bing berkata, jemputan antara parti dalam kunjungan itu bermakna Anwar dan Beijing tidak akan berdepan tekanan sama berbanding kunjugan Mahathir - yang mewakili kerajaan - pada Ogos lalu.

"Ia akan menjadi lawatan untuk bertukar pendapat dan pengetahuan dan bukan antara kerajaan," katanya.


Dialog peradaban

Beliau berkata, hubungan antara Malaysia dan China kebanyakannya terbina daripada manfaat ekonomi bersama, tetapi Anwar mampu memasukkan unsur kecendiakawanan ketika lawatannya.

Anwar akan menyampaikan syarahan bertajuk 'Kedaulatan undang-undang di Malaysia dan masa depan kerjasama Malaysia-China' di Universiti Renmin - salah satu universiti paling penting di negara itu.

"Dengan bercakap di sebuah universiti yang berprestij di China...Anwar mempunyai minda hubungan peradaban. Beliau tidak mungkin mengabaikan China, sebuah peradaban Asia Timur.

"Beliau menulis Asian Renaissance dan mencadangkan dialog peradaban pada era 1990-an. Beliau tidak setuju dengan teori Pertembungan Peradaban (oleh Samuel P Huntington) dan ada rasa hormat terhadap Confucianisme," katanya lagi.

Anwar tidak asing dalam arena syarahan universiti. Beliau antaranya pernah mengajar di Kolej St Antony di Universiti Oxford, Universiti George Hopkins dan Universiti Georgetown.

Anwar dijangka bertolak ke Beijing pada 22 Oktober ini, diiringi delegasi termasuk Anggota Parlimen Tanjong Malim Chang Lih Kang dan duta khas ke China Tan Kok Wai.

Post a Comment

3 Comments

  1. Hrap anwar tidak tunduk dgn desakan china. Mahathir tegas utk kepentingan negara

    ReplyDelete
  2. Jangan pula jadi macam pertemuan Anwar dan Soros di Hong Kong dulu2 kan semasa kegawatan matawang tahun 90an.

    ReplyDelete
  3. Akan bengkrap kah Malaysia jika tiada hubungan peradaban dengan China? China telah melukis peta sempadan negara mereka betul2 dalam halaman negari Sabah dan Sarawak. Semenanjung bernasib baik kerana bersempadanan dengan Indonesia dikepulauan Natuna. Harap Mahathir BERTEGAS dan dapat memerhatikan gerak geri Anwar!

    ReplyDelete