Najib Cuba Kelirukan Isu Terima Dana RM2.6 Billion


Shahbudin | Meskipun sudah lebih sebulan didakwa di mahkamah berkaitan  penggubahan wang haram kerana menerima sejumlah RM2.6 bilion melalui akaun bank peribadinya, Najib Razak masih cuba mengeluh secara terbuka mengenai nasib yang menimpa dirinya.

Bukankah ketika ini beliau seharusnya menumpukan sepenuh perhatian untuk membela dirinya di mahkamah saja?

"Bila saya dapat RM2 bilion saya didakwa, bila saya pulangkan RM2 bilion pun saya didakwa.
"Ini agak pelik, orang pulangkan duit kena dakwa," kata beliau berhubung 21 pertuduhan penggubahan wang haram yang dikenakan terhadapnya berkaitan dana RM2.6 bilion itu.

Daripada apa yang diluahkah Najib itu, jelas beliau sekali lagi cuba mengelirukan rakyat dan menunjukkan seolah-olah dirinya suci bersih dan tidak melakukan apa-apa kesalahan.

Najib sebenarnya bukan tidak sedar mengenai salah lakunya, tetapi cuba buat-buat tak faham berhubung kemasukan dan pemulangan semula wang itu.

Untuk makluman Najib, jika kita mencuri atau menerima rasuah misalnya, kesalahan kita tidak akan terhapus hanya kerana kita memulangkan semula duit yang dicuri atau diterima secara rasuah sebelum itu.

Pencuri motorsikal tetap bersalah mencuri meskipun jika beberapa bulan kemudian memulangkan semula motorsikal yang dicurinya.

Lebih-lebih lagi dalam kes Najib itu, beliau menerima wang tersebut pada Mac 2013, namun hanya memulangkannya pada Ogos tahun yang sama.


5 Bulan Tempoh Pulangan & Kepada Syarikat Jho Low

Mengapa mesti mengambil masa lima bulan untuk memulangkannya?

Selain itu, fakta mengenai jumlah yang disebut Najib juga tidak tepat sebenarnya.

Jumlah wang yang dikatakan derma daripada keluarga Diraja Arab Saudi yang diterima Najib adalah berjumlah RM2.6 bilion tetapi yang dipulangkan cuma RM2.3 bilion atau dalam dolar AS, wang diterima berjumlah AS681 juta, manakala yang dipulangkan hanya AS$620 juta saja.

Kenapa jumlah yang dipulangkan berkurangan dan ke mana selebihnya ia digunakan?

Mengapa Najib tidak pernah menyebut mengenai kekurangan jumlah wang yang dipulangkannya itu?

Yang lebih menghairankan, malah seluruh dunia pun tahu dan pelik dengannya, jika benar wang RM2.6 bilion itu didermakan oleh keluarga Diraja Arab Saudi, mengapa ia dimasukkkan melalui Tanore Finance yang dipunyai oleh Jho Low bersama Eric Tan Kim Loong?

Malah, ketika memulangkannya pun Najib memasukkan semula RM2.03 bilion itu kepada Tanore Finance semula?

Mengapa tidak dipulangkan terus kepada anak Raja Arab yang memberi derma itu?

Kenapa mesti dipulangkan kepada syarikat kepunyaan Jho Low juga?


Siasatan DOJ

Yang lebih-lebih menghairankan lagi ialah berhubung hasil siasatan DOJ Amerika Syarikat pada 2017 yang mendapati sebahagian daripada wang yang dipulangkan itu telah digunakan oleh Jho Low untuk menghadiahkan barangan kemas kepada Rosmah Mansor dan gambar kepada pelakon Hollywood, Leonardo DiCaprio.

Dilaporkan Jho Low telah membelanjakan AS$27.3 juta daripada wang AS$620 juta yang dipulangkan Najib itu untuk membeli loket dan rantai berlian 22 karat bewarna merah jambu untuk diberikan kepada "isteri MO1" serta sekeping gambar berharga AS$750 ribu sebagai hadiah kepada DiCaprio.

Bagaimana Jho Low boleh membelanjakan wang yang dipulangkan Najib itu jika benar ia dipulangkan kepada anak Raja Arab?

Dalam hal ini, kerana amalan "cash is king"  yang digemarinya, Najib mungkin masih mempunyai penyokong taksub, buta dan tuli yang percaya segala apa yang diperkatakannya.

Tetapi, beliau harus sedar beliau kini bukan lagi Perdana Menteri dan rakyat telah pun menghumbannya daripada puncak kuasa menuju perjalanan ke penjara berikutan skandal 1MDB dan dana RM2.6 bilion yang dikaitkan dengannya itu.

Maka, lebih baiklah beliau banyak-banyak  bertaubat dan meluangkan lebih masa di atas tikar sembahyang, sambil menumpukan perhatian kepada kesnya di mahkamah yang terus bertali arus daripada tidak habis-habis  mencipta khayalan untuk mengelirukan orang,ramai.

Post a Comment

1 Comments

  1. Cerita jelah Gajah Rimau sekalipun. Yang Rakyat mahu tahu. Bila nak tangkap najib

    ReplyDelete