Siaran Pendidikan Percuma Pada Kaca TV


Satu inisiatif yang bagus daripada kerajaan, lebih bagus sekiranya pihak RTM dapat membuat satu channel khas untuk pendidikan. Kalau dicampur aduk semua dalam satu channel, nantikan tidak tercapai matlamat.

Persoalannya, adakah kanak-kanak hari ini mempunyai masa untuk mengadap TV. Mereka lebih gemar melihat kartun yang tidak berfaedah dalam youtube. Walaupun bukan kesemuanya. Mungkin lebih bagus jika kementerian menekankan penghasilan kartun yang lebih membimbing dan membentuk minda kanak-kanak.

Sinar Harian | Kementerian Pelajaran (KPM) bercadang untuk mengembalikan siaran televisyen pendidikan secara percuma kepada rakyat.

Menterinya, Dr Maszlee Malik berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo bagi membincangkan perkara itu.

" Kita akan berbincang agar RTM dan Bernama dapat mewujudkan TV pendidikan secara percuma kerana pelajaran adalah hak rakyat.
"Saya masih ingat dahulu ada saluran percuma mengenai pendidikan di televisyen, namun hari ini bukan lagi percuma dan saluran itu ditayangkan di saluran berbayar," katanya.

Menurutnya, sekiranya ia sukar dilaksanakan, portal pendidikan akan diwujudkan.

Beliau berkata, KPM akan mewujudkan aplikasi bahan pembelajaran berteraskan telefon pintar.

"Kita sedang membangun kandungan bahan pembelajaran dan dijangka akan dapat digunakan selewatnya tahun hadapan," katanya.

Tambahnya, lambakan bahan pengajaran diperlukan bagi menggantikan kandungan bahan picisan, sensasi lucah dan tidak membina yang sedia ada sekarang.

"Bahan picisan itu perlu diatasi oleh kita dengan kerjasama agensi dan syarikat swasta," katanya dalam ucapan sempena Anugerah Pembestarian Sekolah Peringkat Kebangsaan di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Pembangunan Profesionalisme Keguruan), Datuk Sulaiman Wak.

Dalam ucapan itu, Maszlee turut mengumumkan 98 peratus sekolah telah mencapai tahap bestari minimum tiga bintang.

"Saya difahamkan menjelang 2020, semua sekolah mencapai ciri-ciri Sekolah Bestari," katanya.

Anugerah Pembestarian Sekolah Menengah Terbaik dimenangi oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Arau Perlis manakala Sekolah Kebangsaan Seri Bayu Perak menggondol tempat pertama bagi kategori sekolah rendah.

Masing-masing membawa pulang wang tunai RM4,500 sumbangan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).

Post a Comment

1 Comments

  1. Sbb kurang sambutan. Tu dia stop n jadikn berbayar. Astro jugak yg untung

    ReplyDelete