KJ Kecewa Dengan Tindakan Najib - Pindaan Laporan Audit

Pindaan laporan audit 1Malaysia Development Berhad (1MDB) disifatkan sebagai tindakan serius dan amat mengecewakan sekiranya benar-benar berlaku.

Itu merupakan luahan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin yang menegaskan laporan audit daripada Jabatan Audit Negara seharusnya bebas dan berkecuali serta tidak boleh diarahkan untuk membuat pindaan.

Malah, jelas Khairy, barisan jemaah menteri Barisan Nasional (BN) sebelum ini juga tidak pernah diberitahu atau dilaporkan mengenai kehadiran ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low dalam mesyuarat ahli lembaga pengarah 1MDB.

"Datuk Seri Najib Tun Razak semalam memberitahu telah memberi penjelasan dalam jawapan di Parlimen bahawa beliau menerusi Kementerian Kewangan mengesahkan kehadiran Jho Low dalam mesyuarat 1MDB.
"Namun begitu, jika benar kenyataan Najib itu, mengapa Ketua Audit Negara, Tan Sri Dr. Madinah Mohamad mengatakan ada arahan untuk meminda laporan tersebut. Ada percanggahan kenyataan di situ.
"Jadi, kita tunggu penjelasan Madinah mengenai perkara ini dan hasil siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang bermula hari ini," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Jumaat lalu, Utusan Malaysia melaporkan Najib didakwa telah mengarahkan agar laporan asal 1MDB yang disediakan oleh Ketua Audit Negara semasa itu, Tan Sri Ambrin Buang dipinda.

Akhbar tersebut memetik sumber sebagai berkata, pindaan itu difahamkan dibuat bagi mengeluarkan maklumat pembabitan bekas Perdana Menteri itu dan ahli perniagaan, Jho Taek Low (Jho Low) dalam aktiviti 1MDB.

Sumber tersebut turut menyatakan kepada Utusan Malaysia bahawa Madinah telah membentangkan laporan asal 1MDB tersebut kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan beliau mengesahkan perkara tersebut menerusi satu kenyataan semalam.


Utusan


Post a Comment

0 Comments