Menteri Salahkan Polis (FRU Tiba Jam 6 Pagi) - Rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman

Beberapa menteri dan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) menggesa tindakan disiplin dikenakan terhadap anggota polis daerah Subang Jaya, susulan isu rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25 Subang Jaya, awal pagi tadi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waytha Moorthy berkata, polis daerah Subang Jaya mengeluarkan kenyataan salah apabila mendakwa rusuhan bnerpunca daripada perselisihan faham antara dua kumpulan India mengenai perpindahan kuil.

Katanya, kenyataan salah dan tidak bertanggungjawab itu menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat India kerana kelewatan serta tindakan polis yang tidak berkesan untuk mengawal insiden berkenaan.

Kami dimaklumkan pada jam 2.30 pagi, sekumpulan 50 orang bersenjatakan batang besi dan parang masuk ke kuil di Seafield dan menyerang orang di dalamnya termasuk wanita.
Difahamkan, ramai yang cedera dan beberapa kenderaan dibakar, selain lima penganut dalam kuil itu dijadikan tebusan sebelum mereka melarikan diri dan mendapat kad pengenalan beberapa individu kumpulan penyerang.
Persoalannya, mengapa hanya satu kereta peronda Polis Daerah Subang Jaya di tempat kejadian pada jam 4.15 pagi manakala FRU (Pasukan Simpanan Persekutuan) tiba jam 6 pagi.

Sidang media turut dihadiri Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo; Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran; Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Kamaruddin Jaffar; Ahli Parlimen Jelutong, R S Rayer; dan Ahli Parlimen Hulu Langat, Hasanuddin Mohd Yunus.

Waytha Moorthy berkata, pihaknya mahu polis Bukit Aman melaksanakan siasatan penuh dan bebas bagi mengenal pasti dalang di sebalik rusuhan dan serangan terhadap kuil itu.

“Ketua Polis Negara wajar mengeluarkan kenyataan yang betul berhubung insiden ini. Kami mengutuk serangan ini dan pihak bertanggungjawab dalam insiden ganas ini perlu ditangkap serta dihukum,” katanya.

Difahamkan, insiden itu sudah berada dalam perhatian Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor, dalam satu sidang media di Kajang, menegaskan insiden rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, awal pagi tadi tiada kaitan dengan masalah perkauman, sebaliknya perselisihan membabitkan isu perpindahan kuil.

Beliau dilaporkan berkata, sebanyak 18 kereta dan dua motosikal rosak akibat dibakar dalam kejadian itu, dan Polis Selangor sudah menempatkan 700 pegawai dan anggota di lokasi kejadian.

Harian Metro

Post a Comment

0 Comments