Difahamkan, kru kabin Malindo Air berusia 38 tahun tersebut turut ditahan bersama seorang lagi warga Malaysia yang sama-sama mengikat pelbagai jenis dadah di badan mereka ketika serbuan dijalankan Polis Persekutuan Australia (AFP), Pasukan Sempadan Australia dan Suruhanjaya Perisikan Jenayah Australia pada 7 Januari lalu.
Channel News Asia melaporkan pihak polis menerusi operasi Sunrise itu turut menahan enam lagi individu dipercayai ahli sindiket berkenaan dan merampas dadah jenis heroin, methamphetamine dan kokain yang dianggar bernilai AS$21 juta (RM62 juta).
Pasukan penyiasat mendakwa sindiket tersebut menggunakan kru kabin Malindo Air yang berpangkalan di Malaysia untuk menyeludup dadah ke negara ini melalui Melbourne dan Sydney dan kru kabin tersebut mengakui bahawa itu adalah perjalanannya yang ke-20 ke Australia.
Menurut laporan ABC, jurucakap polis Victoria, Komander Tess Walsh, operasi selama lima bulan tersebut menyasarkan sindiket jenayah terancang Vietnam yang berpangkalan di Melbourne.
Rampasan kali ini adalah besar namun saya tidak mengatakan itu jumlah keseluruhan dadah yang dibawa sindiket tersebut ke negara ini dan hasil risikan mendapati kru kabin terbabit sudah beberapa tahun menjalankan kegiatan berkenaan, mungkin lebih lima tahun, katanya.
Dalam operasi pertama, seorang wanita berusia 38 tahun ditahan di Tullamarine pada 7 Januari lalu, enam lagi ditangkap di utara Sunshine dan tengah bandar Melbourne keesokannya, manakala seorang lagi suspek wanita yang berasal dari Richmond ditahan pada Isnin lalu.
Selain dadah, polis turut merampas kereta mewah dan wang tunai sebanyak AS$100,000 (RM296,170) dalam operasi berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh mengesahkan kedua-dua suspek warga Malaysia itu terdiri daripada seorang wanita berusia 30-an dan lelaki berusia 40-an.
“Saya difahamkan kedua-dua suspek tersebut sudah didakwa, namun siasatan oleh AFP terhadap kes itu masih berjalan sehingga kini. JSJN juga akan bekerjasama dengan pihak Australia berikutan kejadian ini melibatkan warga Malaysia,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah Mohmad, pihaknya juga akan mengadakan pertemuan dengan Malindo Air dalam masa terdekat memandangkan banyak kejadian penyeludupan serta penyalahgunaan dadah yang melibatkan kakitangannya dilaporkan sejak akhir-akhir ini.
Dalam pada itu, Malindo Air dalam satu kenyataan berkata, pihaknya masih belum dapat menghubungi kru kabin yang ditahan sejak 7 Januari lalu.
“Malindo Air bersedia untuk memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa Australia mahupun Malaysia, malah kru kabin terlibat sudah digantung kerja serta-merta. Sebagai sebuah syarikat penerbangan antarabangsa yang bertanggungjawab, Malindo Air tidak sekali-kali menyokong perbuatan jenayah atau pun salahlaku mana-mana kakitangan kami,” katanya.
© Utusan Melayu (M) Bhd
0 Comments