Penjualan Tanah Membina Kem Tentera vs Penubuhan Mahkamah Khas Rasuah

Putrajaya akan menubuhkan satu mahkamah khas rasuah supaya kes-kes berkaitan salah laku tersebut dapat dipercepatkan, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir berkata, cadangan itu selaras dengan inisiatif pelan antirasuah nasional di mana mahkamah khas tersebut dapat menumpukan kepada kes-kes terdahulu yang melibatkan rasuah.

Beliau berkata, antara kes tersebut turut melibatkan Kementerian Pertahanan yang mana kerajaan mengenal pasti terdapat penjualan tanah dengan cara yang menyalahi undang-undang untuk membina kem tentera.

"Kem-kem tentera dibina dengan begitu dikenalpasti dibina kerana untuk pilihan raya supaya askar-askar boleh ditempatkan di kem-kem ini dan dapat undi di kawasan tertentu.
"Ini adalah satu kesalahan tapi kita dapati banyak yang dilakukan secara landswap (pertukaran tanah) supaya mempercepatkan kem pertahanan ini didirikan.
"Ada kes selepas pilihan raya kem ini dikosongkan," katanya pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa khas Kabinet mengenai antirasuah di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya hari ini.

Beliau menjelaskan, ia tidak akan menjejaskan mahkamah biasa kerana ia akan diadakan di mahkamah biasa juga dan cadangan tersebut masih diteliti.

"Kami tidak akan mencampur adukkan dengan proses-proses mahkamah yang lain tetapi perkara ini perlu diambil secara serius dan orang ramai bertanya apakah hukuman terhadap sesetengah jenayah yang dilakukan oleh sesetengah individu.
"Kita mahukan mahkamah khas yang mengendalikan rasuah didengari secepat mungkin," katanya.

Sementara itu, beliau juga berkata lagu Malaysia Bersih akan digunakan dalam acara tertentu untuk memupuk kesedaran tentang rasuah. Lagu tersebut akan didendangkan selepas lagu Negaraku.

"Semua anggota kerajaan tahu pentingnya negara kita ini bersih dari rasuah supaya kita tak dikenali sebagai negara kleptokrasi tapi dikenali kembali sebagai negara demokrasi," katanya.

Selain itu, beliau juga menjanjikan bahawa kerajaan akan membela nasib Orang Asli di negara ini khususnya dalam memberi tumpuan dari segi pendidikan.

Malaysiakini

Post a Comment

0 Comments