Sejak kehilangan kuasa, Umno bercadang meminda perlembagaannya dengan melarang pemimpin parti yang dalam proses perbicaraan mahkamah memegang jawatan dalam parti. Ada yang mendakwa ini adalah sebagai satu cara untuk menyekat DS Zahid Hamidi dari kembali memimpin Umno.
Saya fikir pindaan sebegini tidak melambangkan Umno berubah. Bagaimana boleh berubah jika Umno meminda perlembagaan parti untuk menghukum pemimpin yang belum lagi dijatuhkan hukuman oleh mahkamah? Ini tidak demokratik.
Jika Umno hendak juga pinda perlembagaannya, pindalah dengan membataskan tempoh seseorang menjadi presiden. Pindalah dengan menetapkan kriteria untuk menjadi pemimpin tertinggi parti seperti memiliki kelulusan tertentu, dan lainnya. Itu lebih demokratik.
Dalam keadaan sekarang, pinda perlembagaan parti pun tidak akan membawa Umno ke mana. Yang perlu Umno ubah ialah pendekatan partinya. Umno harus terima realiti masyarakat kita yang majmuk. Jika hanya bergantung kepada kaum Melayu sahaja, Umno boleh kekal dalam politik negara, tetapi untuk kembali kuat, saya fikir ia ilusi.
Dengan pendekatan Umno sekarang, saya melihat Umno seperti Golkar di Indonesia, kekal mempunyai sokongan rakyat, tetapi tidak berkuasa. Lama kelamaan, ini boleh membuatkan Umno menjadi tua dan dimamah usia begitu sahaja.
Dr Agus
0 Comments