Nampaknya di sebalik arahan walak dan janji untuk mentaati arahan pimpinan, kerjasama PAS dengan Umno masih belum mendapat lorongan yang luas.
Bercakap semasa membahaskan usul mengenai usul memeterai taawun dan tahaluf siyasi dengan Umno, bekas Adun Bangi, Mohd Shafie Ngah berkata persefahaman yang akan dimeterai perlu dibuat dengan teliti.
Katanya garis panduan yang jelas diperlukan agar anggota di peringkat akar umbi patuhi dan memudahkan gerak kerja namun perlu ada aspek yang harus diambil kira.
"Jangan sampai orang masuk rumah tangga kita, atau kita masuk rumah tangga orang, kerana sudah berlaku (di) cawangan-cawangan, mesyuarat agung dirasmikan oleh orang parti lain," katanya.
Setakat ini, kata Mohd Shafie, pihak yang membuat jemputan ialah daripada Umno dan pemimpin PAS yang merasmikan mesyuarat agung mereka.
Keadaan itu, katanya, boleh dianggap sebagai "OK".
"Tapi besok kalau tak ada garis panduan, atau cawangan PAS bermesyuarat, pimpinan Umno yang merasmikan, bagi saya tidak kena sesama kali," katanya.
PAS dan Umno kini sedang menggiatkan usaha memeterai kerjasama di antara parti pembangkang terbabit sebagai persediaan menghadapi PH sebagai kerajaan.
Kedua-dua parti adalah musuh tradisi selama berpuluh tahun sehinggalah Umno - yang menjadi parti utama dalam BN - ditumbangkan dalam pilihan raya umum tahun lalu.
Daripada kerjasama yang tidak ketara, pemimpin Umno dan PAS berhubung secara terbuka dan dipercayai dalam peringkat akhir untuk memeterainya secara rasmi tidak lama lagi.
Bagaimanapun sesetengah pihak berpendapat usaha itu mungkin berdepan bantahan anggota kedua-dua parti, terutama di peringkat akar umbi ekoran mereka mempunyai sejarah perseteruan yang panjang.
Pemimpin PAS - terutama peringkat tertinggi - berkali-kali menegaskan pentingnya semua anggota parti memberi kepercayaan kepada mereka dan mentaati keputusan yang dibuat demi kepentingan Melayu dan Islam.
MK
0 Comments