Dari Mana Nik Zawawi (Ketua Dewan Ulamak PAS) Dapat Pangkat 'Dato' ?


Keengganan Ketua Dewan Ulamak PAS, Nik Muhammad Zawawi bin Haji Salleh untuk berdebat dengan Wan Ji Wan Hussein atas alasan Wan Ji tidak setaraf dengan beliau amatlah memeranjatkan. Tambah mendukacitakan apabila alasan 'tidak setaraf' ini keluar dari mulut seorang yang bergelar Ketua Dewan Ulamak.

Mungkin Wan Ji dianggap tidak setaraf kerana Wan Ji tidak bergelar 'Dato'. Namun dalam hal ini, Nik Muhammad Zawawi wajar mendedahkan status gelaran Dato' yang dipakainya secara meluas sejak kebelakangan ini dianugerahkan oleh Istana atau kerajaan mana.

Berdasarkan carian di laman sesawang Bahagian Istiadat & Urusetia Persidangan Antarabangsa, tiada rekod nama 'Nik Muhammad Zawawi' menerima sebarang darjah kebesaran yang membawa gelaran Dato' atau Datuk yang sah. Walhal beliau dan PAS menggunakan gelaran Dato' untuk merujuk kepada dirinya secara berleluasa, seperti yang boleh dilihat di dalam website rasmi PAS, akhbar Harakah, laman Facebook rasmi beliau dan juga Facebook Pejabat Parlimen Pasir Puteh.

Akta 787 melarang mana-mana individu menerima dan menggunakan sebarang anugerah yang tidak diiktiraf oleh Kerajaan dan Akta 787 memperuntukkan penjara tidak melebihi 3 tahun jika sabit kesalahan.

Penggunakan gelaran Dato' palsu atau gelaran yang tidak diiktiraf oleh Kerajaan bukan sahaja suatu yang memalukan dan tidak berintegriti, malah ianya adalah satu jenayah. Apatah lagi jika dilakukan oleh seorang wakil rakyat dan pemimpin yang dianggap 'ulamak' oleh pengikut-pengikutnya.

Nik Zawawi perlu tampil segera dan berterus terang tentang perkara ini.

HASBIE MUDA
Pengarah Pendidikan Politik, Pemuda AMANAH Nasional

Post a Comment

0 Comments