Presiden Umno Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menempelak kenyataan pihak yang mempertikaikan keputusan beliau untuk kembali menerajui parti selepas bercuti menjalankan tugas itu sejak Disember lepas.

Beliau berkata tindakan pihak berkenaan yang mahu keputusannya kembali memimpin Umno perlu mendapatkan pandangan Majlis Tertinggi (MT) Umno adalah tidak wajar.

"Saya balik (dari cuti) ini dia kata ini perlu dibincangkan dalam Majlis Tertinggi. Masa saya kata hendak cuti tidak pula kata perlu bincang di MT.

"Ini hak saya kerana saya dipilih sebagai presiden Umno yang sah," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Umno Tambun di Bangunan Umno Perak di Ipoh hari ini.
Iklan

Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan kembali menyambung tugas sebagai presiden Umno berkuat kuasa 30 Jun lalu selepas menyerahkan tugas presiden kepada timbalannya Mohamad Hasan pada Disember lalu.

Pada hari yang sama, bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata MT parti perlu memberi pandangan sekiranya Ahmad Zahid Hamidi ingin kembali menerajui Umno.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata demikian sebagai tidak bersetuju dengan pendapat bekas presiden Umno Najib Razak yang menyatakan bahawa Ahmad Zahid bebas untuk kembali tanpa perlu mendapat persetujuan MT.

MK