Kiranya LGBT Boleh Buat Perhimpunan Perarakan Kan? Ke Aku Salah....


Saya ingin merujuk kepada jawapan YB Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri kepada soalan YB Rantau Panjang bertarikh 16 Julai 2019. Soalan tersebut berkait dengan Himpunan Hari Wanita yang telah dianjurkan oleh beberapa NGO di Dataran Merdeka pada 9 Mac 2019. YB Rantau Panjang bertanyakan mengenai sebab kes tersebut diberhentikan siasatan oleh pihak polis dan diklasifikasikan sebagai NFA (No Further Action).

Jawapan Timbalan Menteri amat dangkal dan mengecewakan. Beliau memberitahu bahawa penganjuran himpunan tersebut yang melibatkan kumpulan LGBT tidak bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan sub seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012. Beliau turut mendakwa pihak Peguam Negara tidak mempunyai apa-apa kuasa di bawah mana-mana undang-undang untuk mendakwa apa-apa perbuatan yang bercanggah dengan Islam.

Kebebasan bercakap, berhimpun dan berpersatuan seharusnya tidak menjejaskan kepentingan awam dan bercanggah dengan prinsip moral. YB Menteri Agama juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa himpunan mempertahankan hak LGBT telah menyalahgunakan ruang demokrasi dan tindakan tegas ke atas mereka mesti diambil. Tambahan lagi, YB Hanipa mesti merujuk Seksyen 15 Akta Perhimpunan Aman yang berkaitan dengan sekatan-sekatan dan syarat-syarat perhimpunan.

Timbalan Menteri di JPM juga memaklumkan bahawa himpunan ini mematuhi sub seksyen 9 (1) Akta Perhimpunan Aman 2012. Sub seksyen tersebut adalah mengenai pemberitahuan perhimpunan mestilah dilakukan 10 hari sebelum tarikh berhimpun. Jelas jawapan Timbalan Menteri bercanggah dengan kenyataan asal Ketua Polis Daerah Dang Wangi pada 9 Mac 2019 yang mengatakan bahawa tiada permit dikeluarkan bagi perhimpunan itu berikutan notis dikemukakan kepada polis kurang 10 hari.

Saya mendesak supaya jawapan Timbalan Menteri ditarik balik kerana ia bercanggah dengan peruntukan undang-undang dan kenyataan polis. Jawapan tersebut dilihat tidak menjawab isu sebenar dan boleh mengelirukan orang ramai. Golongan LGBT perlu dirawat dan tidak dibiarkan terus berleluasa sehingga boleh menjejaskan kemaslahatan awam. Ia juga selaras dengan penegasan YAB Perdana Menteri yang menolak sekeras-kerasnya budaya songsang LGBT diamalkan di negara ini.

Sekian, terima kasih.

TUAN IBRAHIM BIN TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
Ahli Parlimen Malaysia (Kubang Kerian) 
15 Zulkaedah 1440 | 18 Julai 2019

Post a Comment

0 Comments