Rakyat semakin tidak sabar dengan tindakan tindakan menteri kabinet yang sudah hilang sentuhan untuk membela rakyat.
Paling mengecewakan Mahathir, tindakan Lim Guan Eng, menteri kewangan yang selalu menggunakan kuasa veto sebagai menteri kewangan yang membuat keputusan sendiri tanpa peduli perasaan Mahathir sebagai perdana menteri.
Malah ramai menteri sudah tidak dapat mengawal rasa kecewa terhadap Lim yang mengawal perbendaharaan sesuka hatinya.
Manakala di luar kabinet Anwar Ibrahim terus melakukan serangan terhadap Mahathir, mempengaruhi ahli parlimen supaya turut mendesak Mahathir berambus segera.
Kekalahan demi kekalahan Pakatan Harapan dalam pilihan raya kecil menjadi mantera utama kumpulan Anwar untuk menekan Mahathir supaya mengangkat kaki dari Putrajaya secara suka, paksa atau mendapat malu dengan undi tidak percaya di parlimen.
Mahathir tidak ada pilihan selain dari membentuk kerajaan baru dengan menyepak keluar DAP dan Anwar dari kerajaan.
Bagi Mahathir, kerajaan PH jika diteruskan akan membawa banyak lagi kerosakan kepada negara dan rakyat semakin marah khusus pada Mahathir secara peribadi.
Jika Umno tidak menyertai pakatan Mahathir, maka Umno akan kekal jadi pembangkang tetapi bukan lagi ketua pembangkang.
DAP akan jadi ketua pembangkang berdasarkan jumlah kerusi DAP (49 kerusi), Umno akan pecah dua, PKR juga pecah dua begitu juga dengan Amanah, manakala PAS teguh bersama Mahathir.
Sanggupkah Umno berketuakan DAP? Ini persoalan yang ahli Umno perlu tanyakan pada diri masing masing.
Sanggupkah Umno bersekongkol dengan DAP? Harus diingat PAS pernah bersekongkol dengan DAP dan akhirnya mengakui DAP bukan parti yang boleh dibuat kawan perjuangan.
Fikir sebelum tempelak Zahid
Ahli Umno mesti berfikir secara terurus sebelum menempelak presiden sebagai pembelot dan sebagainya.
Sebagai presiden parti Zahid Hamidi pasti ingin melihat Umno terus teguh dan kukuh membela agama bangsa, dalam situasi seperti ini apa pilihan yang ada?
Antara memilih Mahathir dan DAP, pastinya pilihan yang betul adalah memilih bekerjasama dengan Mahathir.
Bukan lagi soal pilihan terbaik tetapi membuat pilihan yang betul,walaupun sukar kerana akan timbul berbagai andaian tetapi pilihan yang betul itu mesti diputuskan untuk kelangsungan perjuangan parti.
Umno perlu memilih untuk terus bermaruah atau jadi baruah DAP.
Tepuk dada tanya selera, jangan sampai terlalu gelojoh melayan selera hingga lupa apa rasa makanan yang ada di mulut kita.
DR MOHAMAD KHIR TOYO
Bekas anggota Majlis Tertinggi Umno dan bekas menteri besar Selangor.
Malaysiakini
0 Comments