
Pemergiannya bukan sahaja ditangisi keluarga, rakan rapat dan peminat, namun turut dirasai ramai kenalan yang terlibat secara langsung dan tidak dalam kehidupannya di pentas seni.
Ternyata berita sedih yang diterima pagi ini akan pulangnya, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Ridzuan, 32, atau lebih dikenali sebagai Abam Bocey ke pangkuan Ilahi meninggalkan kesan kepada ramai yang mengenali Allahyarham.
Pendakwah bebas, Mohamad Amirul Amin Maulana Lokmah Hakim atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Amin turut berkongsi kesedihan tersebut melalui laman Instagramnya.
Berkongsi di laman itu, PU Amin menyifatkan Abam sebagai seorang yang kuat semangat apabila tidak pernah menolak untuk menghadiri program dakwah jika diundang.
Abam tak pernah tolak jemputan untuk program dakwah. Penat macam mana pun tetap dia nak hadir juga. Itu kuatnya Abam insan yang mulia. ALLAH lebih mengetahui.
Lawak dan gelak tawa kita bersama di atas dunia ini akan terus diingati. Semua orang sayang Abam. Abam nanti kami akan ikut serta. Berehatlah dari dunia penuh kepenatan ini. Akhirat tempat berehat. Selesai sudah tugas Abam menghiburkan kami.
Ya ALLAH, ampunkan dia, peliharalah dia, tenangkan dia, jadikan kuburnya daripada taman-taman syurga, muliakan kedudukan nya, Ya ALLAH muliakan rohnya. Semoga Syed Umar akan bahagia dan damai di kehidupan akhirat," luahnya di Instagram.
SinarHarian
0 Comments