Mampukah "Geng Mahkamah Umno" Gugat Kedudukan Muhyiddin?

Ramai sedang bercakap mengenai pilihan raya mengejut, dengan ura-ura mengatakan bahawa malah ia akan berlaku sebelum belanjawan.

Selepas pengumuman Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi selepas Najib dijatuhkan hukuman 12 tahun dan denda RM 210 juta bahawa Umno tidak akan menyertai Perikatan Nasional, spekulasi meningkat bahawa Umno yang mempunyai 39 daripada 113 kerusi parlimen (34 peratus) Kerajaan Muhyiddin boleh menjatuhkannya.

Pilihan raya mengejut akan berlaku sebelum belanjawan. Mengapa? 

Pembubaran awal parlimen cuma akan merugikan Muhyiddin dan betapa kuat pun Zahid “merajuk” , ia tidak dapat memaksa Muhyiddin menurut tuntutan Umno.

Tidak ada perpaduan antara tiga parti Melayu dalam PN walaupun semua memperjuangkan kepentingan Melayu-Islam, permintaan akan meningkat untuk Umno dan Bersatu supaya bergabung semula dan PAS akan melembutkan pendirian komunalnya selepas menjadi sebahagian daripada pemerintah seperti yang dilakukan oleh DAP.

Siapa yang memutuskan supaya pilihan raya mengejut boleh diadakan?

Perkara 55 (1) dan 40 (2) (b) Perlembagaan Persekutuan jelas sekali bahawa hanya dua orang yang boleh memutuskan sama ada pilihan raya mengejut boleh berlaku.

Orang pertama adalah Perdana Menteri. Sekiranya PM tidak meminta pembubaran awal, Dewan Rakyat hanya akan dibubarkan lima tahun dari tarikh mesyuarat pertama. 

Tanpa permintaan beliau, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (YDPA) pun tidak boleh membubarkannya.

Orang kedua ialah SPB YDPA. Baginda mempunyai budi bicara mutlak untuk sama ada memperkenankan permintaan PM itu.

Bagaimana PM boleh ditekan untuk melakukan pilihan raya mengejut?

Perkara 55 (1) tidak mengenakan sebarang syarat, waktu dan keadaan bagi PM untuk meminta pembubaran, tetapi Perkara 43 (4) meletakkan permintaan tersebut sebagai salah satu dari dua pilihan beliau "jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.”

Pilihan yang lagi satu adalah meletak jawatan, sekali gus memberi laluan untuk seorang ahli parlimen lain yang boleh mendapat kepercayaan majoriti Dewan Rakyat untuk menggantikannya sebagai PM.

Bagaimana Muhyiddin boleh hilang kepercayaan parlimen?

Secara konvensional, terdapat tiga cara bagaimana seorang PM boleh kehilangan kepercayaan Dewan Rakyat: 

Pertama, kalah undi tidak percaya yang dibentangkan oleh blok pembangkang 

Kedua, kalah undi tidak percaya yang dikemukakan oleh blok kerajaan sendiri

Ketiga, tidak ada majoriti meluluskan belanjawan.

Setelah krisis perlembagaan Perak, Mahkamah Persekutuan mengesahkan bahawa hal itu juga dapat dinyatakan melalui penyampaian Akuan Bersumpah (SD) oleh ahli dewan legislatif kepada raja.

Penting untuk menekankan bahawa kehilangan majoriti di Dewan Rakyat tidak semestinya bererti kehilangan kepercayaan Dewan seperti yang difahami oleh sesetengah orang.

Kerana Yang di-Pertua Dewan Rakyat yang baru tidak akan mencepatkan sebarang usul tidak percaya sebelum urusan kerajaan, Muhyiddin akan selamat di Dewan Rakyat hingga hari belanjawan (6 November). 

Maka, sekalipun Umno – terutamanya “Geng Mahkamah” -- tidak berpuas hati dengan Muhyiddin mengenai penyabitan kesalahan dan hukuman serius ke atas Najib, mereka tidak dapat menjatuhkan kerajaan dengan hanya ponteng parlimen dan menyebabkan kekalahan tipis terhadap sebarang rang undang-undang atau usul yang dikemukakan blok kerajaan.

Walaupun memalukan untuk blok kerajaan, kegagalan meluluskan RUU atau usul sahaja tidak lagi bermaksud PM kena berundur diri. Di UK, kali terakhir kekalahan legislatif disamakan dengan kehilangan kepercayaan dewan legislatif adalah semasa Perang Dunia Kedua.

Selepas penangguhan sidang Dewan Rakyat pada 27 Ogos, Muhyiddin akan selamat walaupun jika sejumlah ahli parlimen PN secara rasmi menarik sokongan mereka. Itu hanya akan menjadikan kerajaan Muhyiddin menjadi kerajaan minoriti (minority government), dan ia tidak sama dengan kehilangan kepercayaan.

Kehilangan kepercayaan ketika parlimen tidak bersidang hanya boleh berlaku jika terdapat cukup banyak ahli parlimen blok pembangkang yang sanggup menyertai ‘pemberontak’ untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong dengan Akuan Bersumpah yang menunjukkan bahawa Muhyiddin telah kehilangan kepercayaan Dewan Rakyat.

Ini tidak mungkin berlaku kerana ia akan menampakkan pembangkang bersekutu dengan Geng Mahkamah Umno dan lebih-lebih lagi kerana PH tidak inginkan pilihan raya mengejut.

Oleh itu, walaupun hanya dengan 113 kerusi, Muhyiddin dapat selamat sepanjang tahun kecuali semasa proses meluluskan Belanjawan, bukan hanya untuk tahun 2020, malah juga untuk tahun 2021 dan 2022.

Sekiranya Muhyiddin dapat bertahan setiap belanjawan, dia dapat berkhidmat hingga 16 Julai 2023, apabila parlimen terbubar secara sendiri.

Mengapa Muhyiddin mesti memotong jangka masa pendeknya sendiri?

Kecuali jika dia gagal meluluskan Belanjawan pada bulan November, mengapa Muhyiddin harus secara sukarela meminta pilihan raya awal untuk memendekkan pentadbirannya?

Ura-ura yang mengatakan Muhyiddin akan menjadi lebih kuat selepas PRU15 hanya masuk akal jika partinya dapat memiliki kerusi lebih banyak daripada sekarang.

Jika tidak, Umno tidak akan menyerahkan jawatan tertinggi dalam negara kepada sebuah parti kecil, seperti yang dilakukan oleh PKR dan DAP untuk Bersatu selama 22 bulan, atau apa yang DAP dan Amanah mahu PKR untuk buat sekarang untuk Warisan.

Peraturan yang lazim dalam pembahagian kerusi dalam gabungan politik Malaysia adalah: penyandang kerusi (imcumbent) dapat mengekalkan kerusi mereka, sementara kerusi yang dipegang oleh pihak lawan mungkin dapat dirunding untuk pertukaran.

Bagi PN, persoalan yang sukar adalah: adakah pembelot yang melompat parti diterima sebagai penyandang jawatan dan dibenarkan untuk mengekalkan kerusi mereka?

Sekiranya ya, Bersatu berharap dapat mengekalkan sekurang-kurangnya 37 kerusi, iaitu 12 yang dimenangi (termasuk enam yang kini berada di blok Mahathir), 15 dari Umno, dan 10 dari PKR. 

Ini akan memberi kelebihan kepada Muhyiddin tetapi mengapa Umno perlu bermurah hati dan menyerahkan 15 kerusi yang dimenangi olehnya pada PRU14 kepada Bersatu?

Sekiranya tidak, Bersatu akan bermula dengan 12 kerusi yang dimenanginya pada PRU14, dan mungkin juga 10 kerusi yang ‘diambil’ dari PKR, menjadikan jumlahnya sebanyak 22 kerusi.

Namun, kerana Bersatu memperoleh kurang dari 50 peratus undi di tiga kawasan yang kini dipegang oleh blok Mahathir: Kubang Pasu (49.70 peratus), Jerlun (42.55 peratus) dan Sri Gading (48.58 peratus), PAS dan Umno bahkan mungkin meminta satu atau dua kerusi tersebut daripadanya.

Sebenarnya, pengumuman merajuk Zahid Hamidi bukan nak jatuhkan kerajaan Muhyiddin tetapi isyarat bahawa Umno dan PAS mungkin akan melawan Bersatu dalam PRU15.

Ahli strategi DAP Liew Chin Tong sebelum ini meramalkan bahawa Bersatu akan diberi 35-40 kerusi.

Tetapi yang penting bukan berapa kerusi yang boleh ditandingi oleh parti, tetapi berapa banyak yang boleh dimenangi.

Memang ada 51 lagi “kawasan pilihan raya Melayu-Islam yang didefinisikan secara meluas” di Semenanjung dan Sabah yang boleh dibahagikan antara tiga parti Melayu ini. Tetapi banyak adalah kubu kuat PH atau Warisan.

Sukar untuk Bersatu yang kekurangan jentera di situ untuk menang walaupun pembangkang sedang bercelaru.

Dengan sekitar 22 kerusi, Muhyiddin akan menjadi PM yang lebih lemah daripada sekarang. Bersatu tentunya tidak boleh berharap untuk mengawal satu pertiga jawatan kabinet. Muhyiddin perlu bersara - mungkin dalam masa beberapa bulan – apabila diberitahu Umno bahawa waktunya telah tamat.

Pilihan lain Muhyiddin adalah menyertai semula Umno dan menjadi presidennya seperti yang dicadangkan Nazri Aziz  dan Tajuddin Abdul Rahman.

Tetapi siapa yang dapat menjamin Muhyiddin akan kekal sebagai kapten selepas meninggalkan kapalnya? 

Selepas janji Mahathir kepada Anwar, adalah bodoh bagi mana-mana ahli politik Malaysia untuk mempercayai sekutu mereka secara membuta tuli.

Mampukah Muhyiddin bertahan dalam belanjawan?

Dengan mengadakan pilihan raya mengejut, Muhyiddin pasti dapat memecahkan rekod Mahathir sebagai PM terpendek dalam sejarah.

Pembaca mungkin bertanya, walaupun Muhyiddin selamat hingga hari belanjawan, tidakkah Umno boleh menjatuhkannya semasa belanjawan dan masih memaksa pilihan raya mengejut?

Tidak, Umno tidak boleh buat demikian sekiranya Muhyiddin mempersiapkan diri menghadapi ribut dengan jaket keselamatan: iaitu perjanjian “kepercayaan dan perbekalan” (confidence and supply pact) dengan blok pembangkang, yang menjanjikan sokongan pembangkang kepada kerajaan apabila ia menghadapi undi kepercayaan atau belanjawan (nama teknikalnya, rang undang-undang perbekalan) seperti apa yang dibuat oleh British Tories dengan Unionists Ireland Utara.

Post a Comment

0 Comments