Darurat Versi Tiang Gol ?

Timbalan Speaker Dewan Rakyat Azalina Othman Said mengkritik menteri undang-undang Takiyuddin Hassan berhubung kenyataannya bahawa kabinet akan menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai sama ada darurat akan dilanjutkan atau tidak.

Azalina, yang pernah menyandang jawatan dipegang Takiyuddin, berkata bahawa kerajaan tidak seharusnya "mengalihkan tiang gol" ketika darurat hampir berakhir.

"Sekiranya demikian (kabinet akan menasihati Agong), apa gunanya membentuk Jawatankuasa Khas Bebas untuk menasihati Yang di Pertuan Agong di bawah Seksyen 2 (1) Ordinan Darurat 2021?

"Berhenti mengalihkan tiang gol!" katanya dalam ciapan di Twitter dengan menandakan (tag) akaun Takiyuddin.

Di bawah Seksyen 2 (1) undang-undang itu, jawatankuasa bebas yang terdiri daripada 19 orang mempunyai satu tugas - untuk memberi nasihat kepada Agong mengenai tarikh darurat harus ditamatkan.

Walau bagaimanapun, jawatankuasa itu dilihat mengunci mulut, dengan pengerusinya Arifin Zakaria mengatakan bahawa laporan mereka hanya untuk Agong.

Peguam Haniff Khatri, berpendapat bahawa oleh kerana peranan jawatankuasa tersebut termaktub dalam Ordinan Darurat - kerajaan telah mengalihkan tanggungjawab untuk memberi nasihat kepada Agong tentang tempoh darurat dari kabinet kepada jawatankuasa berkenaan.

"Justeru, Takiyuddin adalah disarankan untuk patuhi peruntukan Seksyen 2(1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.

"Sebagai menteri parlimen dan perundangan beliau juga wajib menentukan kerajaan Muhyiddin Yassin tidak mencampuri urusan tempoh darurat yang terletak pada jawatankuasa khas bebas itu, serta juga menjamin dan menentukan bahawa kerahsiaan dan keperibadian laporan jawatankuasa khas bebas itu pun dipelihara untuk tatapan dan nasihat Agong sahaja," katanya.

Darurat sebelum ini dijadual berakhir pada 1 Ogos.

Takiyuddin sebelum ini menegaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab kabinet untuk menasihati Agong mengenai tempoh darurat.

Takiyuddin berkata demikian sebagai respons kepada Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.

Noor Hisham dipetik oleh Malay Mail sebagai berkata bahawa hanya Agong yang mempunyai budi bicara berhubung tempoh darurat.

Post a Comment

1 Comments

  1. So hudud sm ruu355 apa citer..

    Sapa pgg kuasa skrg?

    ReplyDelete