Anwar Ibrahim menggesa bekas menteri kewangan Daim Zainuddin memberi penjelasan berkaitan isu Kertas Pandora sebelum mendesaknya meletakkan jawatan sebagai ketua pembangkang.
Presiden PKR itu turut menyindir sesetengah pemimpin yang kononnya mahu membanteras rasuah namun sebaliknya terlibat dengan rasuah yang mengaut sehingga berbilion ringgit.
Sudah tentu Tun Daim Zainuddin adalah orang terakhir yang melihat saya sebagai perdana menteri. Walaupun saya yakin tidak ada perkara peribadi tetapi saya tahu kerana saya mengambil alih Kementerian Kewangan selepas dia.Apabila saya bercakap tentang skandal Pandora dan semua skandal kewangan yang lain, orang menggunakan jawatan mereka untuk mengumpul kekayaan serta mengaut berbilion ringgit. Dia perlu menjawab hal ini.Saya tidak perlukan simpati atau sokongan dari dia, dan ada kalangan mereka ini telah mendapat hasil daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Mereka menganggap rakyat Malaysia bodoh,” katanya pada sidang media di Kongres PKR.
Anwar mengambil alih kementerian kewangan daripada Daim pada 1991, yang merupakan penasihat ekonomi kepada Dr Mahathir Mohamad semasa pentadbiran Pakatan Harapan.
Dalam wawancara bersama The Malaysia Insight, Daim berkata Anwar adalah antara ahli politik veteran yang sepatutnya memberi peluang kepada pemimpin muda untuk menyinar.
Jelas Daim, selagi tokoh politik berkenaan masih kekal, generasi baharu tidak boleh naik.
Kertas Pandora adalah laporan yang mendedahkan senarai urusniaga melibatkan tokoh politik, ahli perniagaan dan selebriti yang membuka akaun di pusat kewangan luar pesisir di serata dunia.
Beberapa nama ahli politik dan ahli perniagaan Malaysia turut disebut dalam laporan itu, antaranya :
- Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi;
- Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz;
- Bekas menteri kewangan Daim Zainuddin;
- Timbalan Menteri Kewangan Yamani Hafez Musa dan
- Keluarga ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho.
Mengulas lanjut, Anwar berkata beliau pernah mempersoal bekas perdana menteri mengenai lantikan Daim sebagai ketua penasihat ekonomi.
“Jadi berbalik kepada soal itu, saya tidak menyerang Daim secara peribadi tetapi dia jangan anggap saya boleh ditakutkan sekiranya saya memilih untuk mendedahkan skandal ini.
“Soal dia terselamat selama ini, tanyalah perdana menteri sebelum ini, malah dia dilantik sebagai ketua penasihat ekonomi Pakatan Harapan (PH). Saya keluar penjara dan saya nasihat Mahathir Mohamad, bagaimana orang yang terlibat dengan semua ini boleh dilantik namun Mahathir cakap itu keputusan dia,” katanya.
FreeMalaysiaToday
0 Comments