Cubaan Dapatkan Semula Wang RM19 Juta.. Macam Kelakar...



Saksi utama perbicaraan kes rasuah projek terowong dasar laut dihadapi Lim Guan Eng memberitahu Mahkamah Sesyen bahawa beliau cuba mendapatkan semula wang RM19 juta yang diberikan kepada ahli perniagaan G Gnanaraja.

Pengarah Consortium Zenith Sdn Bhd, Zarul Ahmad Mohd Zulkifli, berkata beliau telah mengarahkan peguamnya menghantar surat tuntutan kepada Gnanaraja tetapi tidak mendapat maklum balas.

“Isi kandungannya ialah, saya mahu wang saya dikembalikan,” katanya ketika disoal peguam Gobind Singh Deo mengenai kandungan surat tuntutan itu.

Semalam, Zarul memberitahu mahkamah bahawa beliau menyerahkan RM19 juta kepada Gnanaraja pada 2017 selepas ahli perniagaan itu “mengugutnya” dengan siasatan pengubahan wang haram dan tuduhan berhubung projek itu.

Gnanaraja memohon dibicarakan di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 3 April 2019 atas tiga tuduhan menipu Zarul RM19 juta.

Dia didakwa memperdaya Zarul supaya mempercayai dia boleh membantu menutup siasatan SPRM terhadap Zarul.

Gobind menegaskan bahawa dalam surat tuntutan itu, peguam Zarul menyebut bahawa RM19 juta itu “dipegang sebagai amanah” oleh Gnanaraja untuk kerja perundingan.

Ketika menjawabnya, Zarul berkata beliau tidak mengetahui perkataan tepat yang digunakan peguamnya.

“Saya mahu wang saya semula. Wang itu diberikan kepada Gnanaraja untuk diserahkan kepada bekas perdana menteri (Najib Razak),” katanya, dalam mengesahkan jawapannya sebelum ini.

Gobind, yang kelihatan jengkel dengan jawapan berulang Zarul, kemudian berkata, soalannya mudah dan dia mahu Zarul mengesahkan bahawa RM19 juta itu “dipegang dalam amanah”.

“Kamu kena tanya peguam saya (Shahrul Fazli Kamarulzaman, Hamidi Mohd Noh) bagaimana mereka menulisnya,” jawab Zarul.

Saksi itu kemudian memberitahu mahkamah bahawa dia tidak sihat dan perlu berjumpa doktor.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung esok.

Lim dibicarakan atas tuduhan menggunakan kedudukannya sebagai ketua menteri Pulau Pinang ketika itu untuk meminta Zarul 10% daripada keuntungan projek bernilai RM6.3 bilion itu dan menerima RM3.3 juta sebagai sogokan daripada Zarul.

Dia turut berdepan dua tuduhan dengan curang menyebabkan dua plot tanah milik kerajaan negeri bernilai RM208.7 juta dilupuskan kepada dua syarikat.

Awal hari ini, pendakwaan memberitahu mahkamah bahawa cetakan mesej WhatsApp antara Zarul dan Gnanaraja, yang digunakan dalam prosiding mahkamah lain, telah dimusnahkan.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, berkata kes Gnanaraja telah selesai dan di bawah prosedur operasi standard (SOP) mereka, beberapa dokumen perlu dimusnahkan supaya ia tidak disalahgunakan.

Bagaimanapun, Gobind berkata tindakan memusnahkan cetakan itu sama dengan menyekat bukti daripada pihak pembelaan.

Dia meminta pendakwaan mengemukakan telefon Gnanaraja, tempat mesej WhatsApp disimpan, di mahkamah.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib berhujah bahawa mesej WhatsApp itu tidak relevan dengan tuduhan rasuah Lim.

“Kita akan memanggil Gnanaraja selepas Datuk Zarul. Mereka (peguam) boleh melakukan pemeriksaan balas terhadapnya mengenai mesej WhatsApp sama ada terdapat konspirasi atau sebaliknya.

“Perbualan itu bukan sebahagian daripada kes pendakwaan terhadap YB (Lim). Kami tidak bertanggungjawab untuk menyerahkan dokumen ini bawah Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah,” katanya.

Azura kemudian mencadangkan agar beliau menetapkan tarikh telefon itu dikemukakan di mahkamah dan bertanya sama ada pihak pendakwaan dan pembelaan boleh mendapatkan semula kandungannya.

Mahkamah sebelum ini diberitahu bahawa telefon Gnanaraja tidak boleh dihidupkan.

Post a Comment

0 Comments