Persoalanya, Siapa Orang Pertama Akan Ditahan Ditangkap?


Seorang pemimpin PAS membayangkan suasana politik dan pentadbiran di negara ini akan terus panas dengan siri pendedahan lain tidak lama lagi.

Ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari malah memberi bayangan bahawa pendedahan selepas isu kegagalan pembinaan kapak tempur pesisir (LCS) itu tidak kurang mengejutkan.

Menyatakan hal itu secara ringkas di media sosial Ahmad Fadhli berkata, orang ramai tidak perlu "bimbang" kerana pendedahan berkenaan akan dibuat mengikut giliran.

"Ada lagi pendedahan-pendedahan mengejutkan selepas isu LCS.

"Jangan bimbang, satu persatu akan menyusul. Fasten your seat belt (pasang tali pinggang keledar anda)," katanya hari ini.

Untuk rekod isu kegagalan pembinaan LCS milik Tentera Laut Diraja Malaysia menjadi panas selepas Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mendedahkan dapatan mereka pada 4 Ogos lalu.

Siasatan badan di bawah parlimen itu mendapati di sebalik sejumlah besar wang dibelanja dan diperuntukkan untuk projek tersebut, belum ada satu pun LCS disiapkan.

Malah beberapa saranan TLDM selaku pengguna akhir kelengkapan pertahanan tersebut juga didakwa diabaikan Kementerian Pertahanan dan syarikat yang mendapat kontrak membinanya.

Ia juga menjadi perhatian ramai apabila satu majlis perasmian 'LCS' berkenaan - diberi nama KD Maharajalela - dilangsungkan di Lumut pada 2017 oleh Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, serta disaksikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

PAC dianggotai 14 ahli parlimen pelbagai parti dengan dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh. Ahmad Fadhli adalah seorang daripada anggota PAC terbabit.

Melalui hantaran sama, Ahmad Fadhli juga secara sinis menyindir, dipercayai merujuk kepada pihak yang terlibat dalam isu tersebut.

"Seperti kata pepatah, ambil mana-mana yang sempat," katanya yang juga ahli parlimen Pasir Mas.

Malaysiakini

Post a Comment

0 Comments