Saya ingin merekodkan bantahan saya yang paling kuat berhubung prosiding rayuan hari ini, dengan hak saya untuk hidup, kebebasan dan hak untuk mendapat perbicaraan yang adil dipertaruhkan.
Dan para peguam saya, yang telah cuba menarik diri mereka sendiri kerana mereka tidak dapat atau sanggup mewakili saya lagi, masih dipaksa oleh Mahkamah Persekutuan untuk terus duduk di bangku peguam bela dengan tujuan bahawa saya diwakili.
Hisyam Teh Poh Teik telah menyatakan beberapa kali bahawa beliau tidak bersedia untuk rayuan ini, yang bermakna saya tidak mempunyai peguam yang berkesan atau representasi yang sewajarnya di hadapan mahkamah ini dalam rayuan yang kompleks. Ini kerana beliau baru dilantik kurang sebulan atas sebab-sebab yang akan saya nyatakan di bawah.
Disebabkan ini, Hisyam dan pasukannya memutuskan untuk menarik diri mereka daripada mewakili saya dalam rayuan ini di Mahkamah Persekutuan kerana mereka tidak dapat menyumbang secara bermakna kepada kes saya tanpa Mahkamah Persekutuan memberi penangguhan selama tiga bulan.
Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan enggan membenarkan mereka berbuat demikian.
Dalam keadaan sekarang, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk menjelaskan keadaan yang membawa kami ke sini.
Peguam saya sebelum ini telah melakukan tugas yang cemerlang sejak empat tahun lalu mewakili saya di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan untuk kes ini, itulah sebabnya mereka kekal sebagai peguam saya dalam perbicaraan lain yang saya hadapi.
Tetapi walaupun demikian, saya kalah dalam kedua-dua perbicaraan dan rayuan saya kepada Mahkamah Rayuan.
Dengan latar belakang ini saya merasakan bahawa perspektif baru dalam kes berkenaan untuk membawa idea baru merupakan suatu yang wajar dan perlu dilakukan bagi rayuan terakhir saya di hadapan mahkamah ini.
Ini melibatkan hidup saya, ia tidak kurang daripada itu.
Rancangan awal saya ialah penglibatan (peguam) Jonathan Laidlaw QC untuk menyertai Shafee & Co dan bekerjasama dengan Muhammad Shafee Abdullah dan Harvinderjit Singh.
Laidlaw mengemukakan cadangan paling baik dan saya yakin dia akan menjadi sumbangan positif kepada pasukan.
Penemuan keterangan yang berkaitan dengan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali seterusnya memerlukan peguam baru untuk tampil meneliti secara bebas dakwaan itu dan mengemukakan di hadapan Mahkamah Yang Mulia ini dalam keadaan yang paling tidak berat sebelah.
Malangnya, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Laidlaw untuk menjadi peguam saya.
Dengan penolakan Mahkamah Tinggi dan rayuan ini telah ditetapkan, saya tidak boleh menghadapi risiko penolakan Laidlaw dikekalkan semasa rayuan, menyebabkan saya tiada peguam tambahan yang pada masa ini saya berpendapat adalah penting untuk berhujah secara bebas mengenai isu berkenaan hakim Nazlan .
Zaid Ibrahim yang pernah menghubungi saya suatu masa dahulu, berkata beliau boleh membawa masuk kepakaran undang-undang dari India melalui rakan kongsinya dari Singapura, Niru Pillai.
Saya kemudiannya diperkenalkan kepada dua peguam kanan dari India, yang pada mulanya menarik perhatian saya dengan idea mereka.
Akhirnya, mereka melakukan kerja belakang tabir manakala firma Zaid memudahkan proses mahkamah.
Zaid dan pasukannya datang dengan syarat, pengambilan mereka mesti termasuk firmanya diletakkan sebagai peguam cara dalam rekod dan peguam tempatan yang baru akan menyertainya.
Keperluan dapatkan peguam baru
Saya juga yakin bahawa ini keputusan yang sesuai selepas diberitahu bahawa rayuan berprofil tinggi lain pada masa lalu telah diberikan penangguhan atas semangat proses yang sewajarnya dan untuk memudahkan representasi yang berkesan bagi orang yang dituduh.
Menjadi hasrat saya bukan sekadar untuk melengah-lengahkan proses mahkamah tetapi kerana permohonan Laidlaw akhirnya ditolak kurang dari sebulan sebelum tarikh yang dijadualkan - justeru keperluan untuk penglibatan peguam baru muncul secara tiba-tiba.
Mana-mana pasukan baru yang membawa idea baru memerlukan masa. Saya tidak malu untuk mengatakan, saya terdesak, sebagaimana sesiapa pun litigan yang berada dalam keadaan kesusahan seperti saya .
Saya kini berada dalam situasi di mana hak saya untuk mendapatkan peguam dan perbicaraan yang adil cuma ilusi kerana saya membuat keputusan yang saya fikir adalah untuk kepentingan terbaik saya pada masa itu.
NAJIB RAZAK
3 Comments
Assalamualaikum wb. Najib dah didapati bersalah. Cepat2 sumbatkan dia ke dalam penjara. Lepas tu diam lah dia. Wassalam.
ReplyDeletepihak peguam kedua2 pihak telah mengemukakan bukti2 dan hujjah2 yang nyata dalam pembicaraan mereka dan mahkamah membuat keputusan diatas kekukuhan bukti2 dan hujjah2 yang disampaikan, tetapi pada hakikatnya diri sendiri yang lebih mengetahui perkara yang sebenar apa yang telah berlaku apa yang telah dilakukan, siapa tahu melainkan diri sendiri, jika diri rasa dianiaya banyak2 berdoa mohon pertolongan allah, jika tidak jangan lakukannya
ReplyDeleteMasalah najib..... dia berani sakau tapi tak berani tanggung akibatnya. Ni bukan ciri pahlawan bugis. Ni ciri pengecut bugis. Aku yakin adik dia pun tak percaya dia tak bersalah!
Delete