Barisan kepimpinan yang menerajui kerajaan baharu perlu menyedari bahawa betapa besarnya harapan rakyat ketika ini.
Rata-rata rakyat mengharapkan isu kos sara hidup menjadi perhatian utama kerajaan tak kira daripada parti mana sekalipun yang berjaya mendapat mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang lalu.
Sehingga kini harga pelbagai barangan keperluan asas terutama bahan mentah, sayur-sayuran dan barangan runcit masih tidak nampak penurunan sebaliknya terus melambung hingga membebankan rakyat berpendapatan rendah (B40) dan sederhana (M40).
Majoriti rakyat yang tinggal di bandar mahupun di kampung-kampung mengeluh kerana terpaksa ikat perut susulan harga barangan asas naik mendadak.
Lebih membimbangkan apabila ekonomi negara diramalkan semakin mencabar pada tahun 2023 dan kesannya kepada rakyat pastinya lebih besar.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keutamaan segera kerajaan baharunya adalah menangani kos sara hidup yang semakin meningkat.
Subsidi bersasar mungkin dilaksanakan dan menjadi tumpuan susulan tempoh dua minggu yang diberikan oleh Anwar kepada jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk mengkaji dan melihat implikasi jika subsidi bersasar dilaksanakan.
Anwar turut menegaskan, pemberian subsidi kepada rakyat harus dilaksanakan secara bersasar demi memastikan hanya golongan benar-benar memerlukan dapat menikmatinya.Kesan subsidi kepada rakyat perlu diperhalusi kerana subsidi tidak bersasar yang diberikan kepada rakyat ketika ini turut dinikmati golongan kaya dan industri.
Cadangan subsidi bersasar itu bukanlah kali pertama dibahaskan kerana kerajaan sebelum ini turut mengusulkan mekanisme sama namun sehingga kini masih belum mampu dilaksanakan.
Bekas Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan mempertimbangkan usaha pelaksanaan subsidi bersasar secara berfasa.
Tengku Zafrul turut memaklumkan peruntukan untuk perbelanjaan subsidi termasuk ayam dan petrol pada tahun ini dijangka mencecah hampir RM80 bilion.
Beberapa pakar ekonomi turut menyatakan keperluan melaksanakan subsidi bersasar kepada rakyat agar dapat meringankan beban golongan yang memerlukan dan benar-benar terkesan.
Pakar ekonomi, Profesor Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, kerajaan perlu menstrukturkan semula cara pemberian subsidi dan bantuan serta kaedah kawalan harga bagi memastikan kemapanan kedudukan perbelanjaan negara.
Katanya, perbelanjaan subsidi dilakukan kerajaan ketika ini dilihat tidak mampan dan berpotensi menggugat kedudukan fiskal kerajaan.
Tidak dapat dinafikan kerajaan wajar memberi perhatian lebih kepada golongan B40, namun dalam usaha memastikan subsidi hanya dinikmati oleh golongan yang layak, janganlah sampai meminggirkan golongan M40.
Dengan kenaikan kos sara hidup yang begitu drastik, M40 juga merupakan golongan yang turut terkesan dan memerlukan bantuan.
Golongan M40 adalah kategori rakyat yang berpendapatan isi rumah antara RM4,851 hingga RM10,970 sebulan.
Usah dinilai menerusi jumlah pendapatan atau slip gaji kerana realitinya kumpulan M40 ini memiliki komitmen yang tinggi dalam perbelanjaan harian dan hutang pinjaman yang kadangkalanya menjadikan kedudukan mereka lebih teruk berbanding B40.
Golongan ini, jika hidup di bandar dengan pendapatan isi rumah RM6,000 yang perlu menyara lima anak boleh dianggap ‘miskin bandar’.
Tidak seperti B40, golongan M40 perlu membayar cukai pendapatan setiap bulan dan golongan ini merupakan pembayar cukai paling ramai di Malaysia iaitu melebihi 50 peratus daripada jumlah pembayar cukai.
Tersepit dengan kos sara hidup yang kian meningkat, tidak hairan semakin ramai M40 merasakan pendapatan yang diperoleh tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian. Malah ada yang terpaksa berhutang dan mencatu wang demi kelangsungan hidup.
Gambaran jelas mengenai status golongan M40 pada hari ini menunjukkan golongan ini berdepan cabaran hidup yang sangat getir, maka tiba masa kerajaan memberi perhatian terhadap M40 bagi memastikan golongan ini tidak terus tercicir daripada menerima bantuan lain termasuk subsidi bersasar.
0 Comments