Konflik PAS Bersatu - PN Dalam Dilema Lantik MB Pahang Dari BN



PN Pahang sedia bertolak ansur dengan menyerahkan jawatan menteri besar kepada BN dalam usaha merealisasikan pembentukan kerajaan negeri melalui kerjasama BN dan PN.

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata BN bagaimanapun perlu memenuhi beberapa syarat dan tuntutan seiring dengan kekuatan PN yang menang 17 kerusi berbanding BN yang memenangi 16 kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menurutnya, antara tuntutan ialah tiga daripada lima anggota Dewan Undangan Negeri yang dilantik diberikan kepada PN, PN menerima jumlah kerusi exco yang sama dan jawatan speaker DUN.

“Saya yakin Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mewakili BN Pahang mungkin akan mempertimbangkan syarat kita yang ingin dibuktikan di Pahang.

“Insya Allah sinar harapan itu ada di mana-mana, PN Pahang bersedia berkompromi sebagai model penyatuan ummah dan Pahang dijadikan model,” kata Tuan Ibrahim dipetik Kosmo!Online.

“Oleh itu permuafakatan politik PN dan BN dalam Muafakat Nasional merupakan jalan terbaik demi perpaduan ummah dan kestabilan di negeri ini.

“PN bersedia bertolak ansur menyerahkan kerusi Menteri Besar kepada BN walaupun kita menang lebih satu kerusi yang diberi mandat oleh pengundi,” katanya yang juga Adun Cheka.

Percanggahan Bersatu & PAS

Kenyataan Tuan Ibrahim itu bercanggah dengan pandangan Pengerusi PN Pahang, Saifuddin Abdullah  pada hari ini yang menyifatkan pimpinan Umno dan BN di negeri itu bersikap 'tamak' seolah memberi gambaran rundingan antara dua gabungan itu telah berakhir.

Saifuddin mendakwa gabungan BN menuntut kerusi menteri besar dan tujuh daripada lapan jawatan exco kerajaan Pahang.

Di Pahang, PN mempunyai 17 kerusi DUN, BN mempunyai 16 kerusi dan PH mempunyai 8 kerusi, dengan pilihan raya kecil (PRK) Tioman kini dijadualkan pada 7 Dis berikutan kematian calon PN/PAS.

DUN Pahang tergantung selepas keputusan PRU15 menyaksikan tiada parti berjaya memperoleh majoriti mudah iaitu 22 kerusi bagi membentuk kerajaan negeri.

Susulan itu terdapat siri perbincangan antara PN dan BN, selain BN dan PH untuk menubuhkan kerajaan negeri campuran.

Pada 24 Nov lalu, PH menyatakan sokongan kepada Wan Rosdy sebagai menteri besar Pahang yang seterusnya dikatakan membawa kepada persetujuan dua gabungan itu untuk membentuk kerajaan perpaduan negeri bersama.

Post a Comment

0 Comments