Pengundi PH Dalam Dilema & Golongan Profesional Sungai Buloh Akui Menyesal Sekiranya KJ Kalah



Kubu kuat PKR Sungai Buloh di Selangor kini menjadi kerusi panas susulan tindakan BN yang menamakan Menteri Kesihatan sementara Khairy Jamaluddin sebagai calon untuk bertanding di sana.

Mengikut laporan Malaysiakini yang membuat lawatan ke Sungai Buloh menunjukkan bahawa ramai penyokong Pakatan Harapan kini dalam “dilema" kerana mereka menyokong presiden PKR Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri mereka tetapi pada masa yang sama tidak mahu melihat Khairy kalah.

Malah ada yang menjelaskan bahawa mereka akan lebih teliti dalam membuang undi mereka dan mungkin membuat keputusan berdasarkan "personaliti dan bukannya mengikut garis parti".

Bagi Khairy, dia cepat serasi dengan penduduk tempatan. Sebaik sahaja proses penamaan calon Sabtu lalu, dia menunggang motosikal dan melawat beberapa veteran Umno di Kampung Melayu Subang Tambahan.


Shahrul - Pemimpin akar umbi UMNO Sungai Buloh 


Menurut seorang pemimpin akar umbi Umno di kampung itu, yang hanya mahu dikenali sebagai Shahrul, lawatan Khairy singkat tetapi berjaya menarik ahli parti yang tidak aktif untuk menyokongnya.

“Walaupun ini kerusi majoriti orang Melayu, secara tradisinya, ia ditandingi MIC, dan BN kalah berturut-turut selama tiga penggal.

“Namun Khairy yang bertanding kali ini dan, tiba-tiba seluruh Umno cawangan menjadi teruja dan jentera lebih bersemangat berbanding sebelum ini.

“Contohnya, saya terkejut apabila ramai ahli Umno menyertai kami dalam lawatan rumah ke rumah sebelum ini. Mereka bukan ahli jawatankuasa tetapi mereka menyertainya apabila dimaklumkan lewat malam tadi (Ahad),”
Ramai pengundi di Sungai Buloh merasakan Khairy telah dihantar ke kerusi "hitam atau gelap" ini kerana dia berani menentang presiden partinya Ahmad Zahid Hamidi.

Bagaimanapun, ini mungkin membantu Khairy menjarakkan dirinya daripada imej negatif yang terpalit dengan Umno/BN.


Kamarulzaman & Doktor Aufa (anak) - Menyesal Sekiranya KJ Kalah


Sementara itu, seorang lagi pengundi, Kamarul Zaman, 57, dari Kampung Kubu Gajah, bersimpati dengan Khairy. Dia menyifatkan penyandang kerusi Parlimen Rembau itu sebagai menteri yang berkebolehan tetapi diletakkan di zon “mati”.

Pesara guru itu juga kelihatan tidak yakin tentang calon PKR R Ramanan, yang pernah terpalit dengan kes penipuan.

“Kita tidak boleh mengundi calon semata-mata berdasarkan partinya. Kita perlu melihat latar belakang calon juga."

Anak Kamarul, Aufa, 30, yang merupakan seorang doktor di sebuah hospital awam, mengakui akan menyesal sekiranya Khairy kalah di Sungai Buloh.

“Golongan profesional seperti saya dalam dilema. Kami orang bandar yang menyokong Harapan, tetapi dari segi karisma dan pengalaman calon, kami lebih suka Khairy. Dia berani menentang presiden partinya sendiri,” kata Aufa.


Post a Comment

0 Comments