MoU Bersifat Kuku Besi? Ancaman Kuasa Autonomi MP Apabila Mengundi? ..



Klausa pengosongan kerusi serta merta terkandung dalam Perjanjian Persefahaman Kerjasama antara parti membentuk kerajaan perpaduan dibimbangi tidak berperlembagaan, kata seorang peguam.

Gabungan parti yang mendokong kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim, baru-baru ini, menandatangani memorandum persefahaman (MoU) menjelang usul undi percaya, esok, yang secara efektif menghapuskan kebebasan mengundi secara individu sebagai Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

Peguam Andrew Khoo, mengakui beliau ragu-ragu sama ada klausa pengosongan kerusi serta merta itu boleh dipertahankan di mahkamah mahupun dikuatkuasakan.

“Tindakan itu menimbulkan persoalan besar jika Ahli Parlimen perlu meletakkan jawatan apabila tidak mematuhi arahan untuk mengundi dalam cara tertentu, melainkan parti berkenaan ada meminda perlembagaannya memasukkan klausa sedemikian,” katanya kepada FMT.

“Dengan klausa itu dimuatkan dalam MoU, ia sudah melanggar hak Ahli Parlimen untuk tidak bersetuju dengan parti mereka dan kita semua sedia mengetahui daripada pengalaman bahawa Ahli Parlimen tidak akan bersetuju apabila menyentuh perkara prinsip.

“Namun, kini mereka dikenakan tindakan hanya kerana menyatakan hak untuk tidak bersetuju. Ini tindakan ekstrem, selain membangkitkan persoalan serius mengenai bentuk demokrasi diamalkan di Malaysia.”

Khoo yang juga pengerusi bersama jawatankuasa Perlembagaan Majlis Peguam, berkata tidak mengundi mengikut kehendak parti merupakan persoalan mengenai “tidak patuh kepada arahan parti” dan perlu diselesaikan secara dalaman oleh parti.

Katanya, kebimbangan serupa berlaku pada parti politik berhubung klausa pengosongan kerusi serta merta dalam perlembagaan mereka, yang dilihat boleh dicabar di mahkamah.

Khoo berpandangan, mahkamah berkemungkinan besar tidak akan membenarkan mana-mana parti politik yang mempunyai klausa seperti itu atas alasan bertentangan dengan hak asasi.

Demi menjamin kerajaan perpaduan lebih efektif, Khoo ketika mengulas lanjut, berkata perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA) diperlukan.

Katanya, ia juga dilihat langkah lebih adil untuk mendapat sokongan Ahli Parlimen menyokong perdana menteri dan rang undang-undang yang dikemukakan kerajaan tanpa klausa pengosongan kerusi serta merta.


 DAP & Amanah Pinda Perlembagaan Parti 

September lalu, komponen Pakatan Harapan, Amanah dan DAP meminda perlembagaan parti masing-masing agar wakil rakyat yang tidak mengikuti kehendak parti dalam isu diputuskan, secara automatik hilang keahlian.

Ketika itu, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook, berkata pindaan itu dilakukan demi menyelamatkan parti daripada “lompang” Undang-Undang Anti-Lompat yang mana wakil rakyat dipecat parti tidak perlu mengosongkan kerusi mereka.


 BERSIH bimang kandungan MoU 

Sementara itu, jawatankuasa pemandu Bersih, berkata ia “bimbang” dengan kandungan MoU itu yang menghendaki semua Ahli Parlimen mereka mengundi menyokong semua usul kerajaan merangkumi undi percaya dan rang undang-undang perbekalan.

“Menyokong ‘semua usul’ dan tidak terhad kepada undi percaya dan rang undang-undang perbekalan memberi ancaman kepada kuasa autonomi Ahli Parlimen apabila mengundi. Bersandarkan kekuatan dua pertiga majoriti kerajaan, ia membuka ruang seluas-luasnya bagi pindaan Perlembagaan.

“Bersih menggesa mana-mana parti yang berhasrat meminda perlembagaan parti masing-masing mengehadkan kebebasan Ahli Parlimen mereka mengundi hanya untuk undi percaya dan perbekalan sahaja,” katanya dalam kenyataan.

Pada Jumaat, pemimpin lima parti politik menandatangani MoU di Pejabat Perdana Menteri, untuk menyokong kerajaan perpaduan dipimpin Anwar.

Pihak yang menandatangani MoU itu membabitkan : 
  • Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Anwar, 
  • Pengerusi Barisan Nasional (BN) Ahmad Zahid Hamidi, 
  • Pengerusi Gabungan Parti Sarawak Abang Johari Openg, 
  • Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Hajiji Noor dan 
  • Presiden Warisan Shafie Apdal.

Post a Comment

0 Comments