Selepas Kejadian.. Baru KPKT Arah Tutup?



Semua pemilik tapak perkhemahan sama ada yang berdaftar atau tidak dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Pulau Pinang diminta akur arahan Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) agar menutup operasi selama tujuh hari.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, tapak perkhemahan yang dikenal pasti berisiko tinggi kerana terletak di kawasan cerun bukit iaitu di Suling Hill, di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Taman Bandaraya, di bahagian Timur Laut telah diarahkan ditutup oleh majlis bandaraya masing-masing, semalam.

”Memang banyak di seluruh negara pelanggaran undang-undang kerana memulakan operasi tanpa kelulusan dalam apa jenis kegiatan termasuk tapak perkhemahan juga.

“Kategori ini (tapak perkhemahan) tidak dikesan banyak berlaku di Pulau Pinang, ada satu dua sahaja jadi mereka perlu patuh dengan arahan KPKT untuk menutup operasi,” katanya selepas menghadiri acara Penang 2nd Bridge PDRM 2022 Solidarity Fun Ride edisi keempat, di Dataran Queensbay, malam tadi.

Sebelum ini, KPKT mengeluarkan arahan kepada 155 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengosongkan tapak perkemahan berisiko tinggi selama tujuh hari, berkuat kuasa 16 Disember bagi mengelak kejadian tanah runtuh di tiga tapak perkemahan di Jalan Batang Kali-Genting Highland berulang.

Menurut Kon Yeow, kerajaan negeri mempunyai garis panduan melibatkan pembangunan lereng bukit kerana Pulau Pinang pernah ditimpa bencana tanah runtuh yang melibatkan kehilangan nyawa.

Sementara itu, katanya, di Pulau Pinang turut terdapat satu tapak perkhemahan glamping yang mempunyai kelulusan MBPP.

”MBPP pernah meluluskan pembangunan di Builder Valley, tapak ini ada kelulusan perancangan dan ada kelulusan pembangunan kerana mereka telah melakukan proses permohonan perlingkungan semula kegunaan tanah dan mematuhi syarat geo teknikal,” katanya.

- KOSMO! ONLINE

Post a Comment

0 Comments