Punca sebenar kegagalan Muafakat Nasional (MN) berhubung kait dengan hubungan sulit UMNO bersama pimpinan Pakatan Harapan (PH) sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan bukannya Pas.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari mendakwa, perbualan telefon antara ‘cikgu dan murid’ serta ‘gumpalan kertas A4’ yang berlaku sebelum PRU15 itu merupakan bukti tersebut.
“Sekadar mengingatkan, perbualan berkenaan adalah sebesar-besar bukti bahawa telah berlaku hubungan sulit antara Datuk Seri secara peribadi dengan pimpinan PH."Akhirnya ia terlaksana selepas PRU15. Sudah tentu hujah yang biasa didengar ialah kerana titah Yang di-Pertuan Agong agar Barisan Nasional (BN) bekerjasama dengan PH untuk membentuk Kerajaan Persekutuan."Ya, semata-mata patuh kepada titah sahaja," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menolak cadangan untuk menghidupkan semula MN kerana mahu fokus membentuk kerjasama dengan parti Kerajaan Madani.
Menurut Ahmad Zahid, UMNO tidak pernah meruntuhkan MN dan penyatuan ummah, sebaliknya Pas yang berbuat demikian.
Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas turut mempersoalkan kesanggupan BN bekerjasama dengan PH dalam kerajaan disebabkan titah atau faktor lain.
“Andaikan ia benar, soalannya adakah kerana titah juga BN sanggup bekerjasama dengan PH membentuk kerajaan negeri di Perak dan Pahang walaupun ada alternatif lain untuk membentuk kerajaan dominasi Melayu Muslim? Jika kerana titah, titah yang mana atau titah siapa?“Apabila Datuk Seri menyatakan harapan agar kerjasama ini kekal sehingga PRU16, dengan maksud di dalam pilihan raya akan datang, BN akan terus bekerjasama dengan PH menentang PN satu lawan satu, adakah ia juga kerana titah?“Tidakkah itu dengan sendirinya bermaksud selepas PRU16 nanti BN akan terus bekerjasama dengan PH membentuk kerajaan (jika pun menang). Janganlah pergunakan kalimah titah sampai begitu sekali,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Ahmad Fadhli meminta Ahmad Zahid tidak lagi membahaskan isu MN memandangkan tiada keperluan memanjangkan isu berkenaan pada masa ini.
“Ramadan ini kita perbanyakkan amal ibadat dan kurangkan pertembungan, takut melarat sehingga mengurangkan pahala nanti, apatah lagi sengaja melontarkan isu yang tidak perlu yang tentunya akan memanjangkan perbahasan ini.“Panjang lagi jawapan boleh diberikan tetapi lebih baik setakat ini sahaja sekadar respon. Jika tidak dimulakan oleh Datuk Seri, tiada keperluan untuk menjawab sebenarnya kerana semua orang sudah tahu duduk letak isu sebenar.“Buat masa sekarang, jika Datuk Seri terus istiqamah untuk bersama PH, saya ucapkan selamat berjaya,” ujarnya.
0 Comments