Letupan Beirut, Letupan Ammonium Nitrat?


Sayu hati kami bila mendengar berita tentang letupan di Beirut, Lubnan yang telah mengorbankan sekurang-kurangnya 78 mangsa dan mencederakan ribuan yang lain. 

PM Hassan Diab menyatakan ia berpunca daripada 2,700 Tan ammonium nitrate yang disimpan berdekatan dengan pelabuhan bandar tersebut. Video menunjukkan terdapat api yang marak disusuli dengan letupan seperti bom atom yang membentuk awan mushroom. 

Apa itu ammonium nitrat?
Ammonium nitrat atau formulanya NH₄NO₃, dihasilkan dalam bentuk butir adalah baja paling banyak digunakan dunia. 

Ianya juga bahan utama di dalam proses letupan untuk menggali mineral yang mana bahan ini dicampur dengan minyak dan dihidupkan dengan cas letupan. 

Untuk industri ammonium nitrat menjadi satu letupan yang bahaya, ianya perlu melalui proses yang panjang dan banyak masalah perlu berlaku. Dan ini berlaku di Beirut. 

Apa punca letupan itu?
Ammonium nitrat tidak akan terbakar dengan sendiri. Malah, ianya lebih adalah sumber oksigen yang akan mempercepatkan proses pembakaran bahan lain. Sebab itu, ianya sangat berfungsi di dalam perlombongan di mana kawasan yang kurang oksigen, dengan adanya Ammonium nitrate akan menghasilkan oksigen untuk proses pembakaran minyak dan bahan bakar lain. 

Namun di suhu yang sangat tinggi, ammonium nitrat akan terurai dan menjadi nitrogen oksida dan wap air. Dan Gas inilah yang akan menyebabkan letupan. 

Jadi kalau ada api marak berdekatan dengan bahan ini, ianya boleh menyebabkan letupan seperti yang juga berlaku di Tianjin China pada tahun 2015 yang telah mengorbankan 175 orang di sebuah kilang Ammonium nitrat. 

Walaupun kita tidak tahu punca sebenar di Beirut, tetapi kita dapat lihat melalui video, letupan itu berlaku setelah beberapa ketika kebakaran berlaku. 

Memang sukar sebenarnya Ammonium nitrat meletup disebabkan kebakaran. Kebakaran perlu berlaku dan kekal lama di tempat Ammonium nitrat disimpan. 

Malah ianya tidak akan meletup dengan sendiri tanpa minyak melainkan ianya telah ada pencemaran silang akibat daripada penyimpanan stok yang tidak betul. 

Ini dapat dibuktikan dengan amaran yang telah diberikan kepada pengilang 2700 Tan yang telah disimpan selama 6 tahun tanpa keselamatan yang baik. 

Kesan kepada kesihatan?
Letupan ammonium nitrat akan menghasilkan nitrogen dioksida, gas berwarna merah dan baunya sangat busuk. 

Gas ini selalunya berada di persekitaran yang tercemar dan selalu digunakan sebagai aras kualiti udara sesuatu kawasan/bandar. 

Ianya dikhuatiri boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan seperti masalah paru-paru. Keadaan ini mungkin akan ada di sana selama beberapa hari. 

Keadaan di Beirut mengajar kita untuk menyimpan baja dalam keadaan yang betul. Mari kita doakan semoga Beirut kembali pulih daripada musibah yang telah melanda.

Public Health Malaysia

Post a Comment

0 Comments