Bekas perdana menteri Najib Razak, menyifatkan Persidangan Khas Dewan Rakyat bermula 26 Julai ini sebagai sesi “murid dan guru” dan bukan sidang Parlimen kerana tidak ada perbahasan atau pembentangan usul.

Beliau berkata Ahli Parlimen hanya dibenarkan mengemukakan soalan semasa taklimat menteri.

“Ia, pertama kali dalam sejarah dunia di mana sidang Parlimen tidak ada sebarang usul atau perbahasan. Cuma dengar taklimat. Jika ada soalan, boleh tanya. Macam murid tanya cikgu dalam sekolah.

“Jangan panggil “sidang” Parlimen jika begini..murid-murid sebenarnya ‘bersidang’ di sekolah tiap-tiap hari, bukan pergi kelas,” katanya di Facebook.

Najib mengulas kenyataan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Mohd Rashid Hasnon, bahawa Ahli Parlimen dibenarkan mengemukakan pertanyaan walaupun tiada perbahasan.

“Pada persidangan ini tiada sebarang usul jadi tiada sebarang perbahasan, namun saya kira jika ada cadangan atau pertanyaan boleh kemuka pada sesi soal jawab, itu juga dikira perbahasan,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Rashid berkata semua Ahli Parlimen boleh kemukakan usul dan ia terpulang kepada Speaker iaitu Azhar Azizan Harun mahu menerima atau tidak.

Sementara itu, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata, tindakan Kerajaan PN yang menjadikan sidang khas Parlimen ini berbentuk “ceramah” adalah mengingkari titah dan tujuan asal Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.

“Saya tidak pernah hadir sidang Parlimen (termasuk Sidang Khas Parlimen) yang tidak memberi ruang kepada Ahli Parlimen untuk menyertai perbahasan ataupun membentangkan usul dalam sidang Parlimen.